GERAKAN BERSIH SEMAKIN LAMA SEMAKIN ‘BERSIH’ DARI PANDANGAN RAKYAT MALAYSIA



Hakikat yang tidak mahu diterima oleh Penyokong BERSIH adalah gerakan tersebut semakin lama, semakin kehilangan pengaruhnya. Puncanya adalah BERSIH bukan lagi berpura-pura bersikap berkecuali tetapi sebaliknya telah menyokong Pakatan Harapan sepenuhnya. 

Pakatan Harapan yang diketuai oleh Mahathir, salah satu musuh utama BERSIH pada masa yang dahulu 

Tidak hairanlah Gabungan Bersih 2.0 yang diadakan di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 11 Februari diselubungi kontroversi di mana ramai pihak menyampaikan rasa tidak puas hati dengan gerakan tersebut. 

Barisan ‘bintang’ Gerakan Bersih yang termasuk Datuk S. Ambiga dan anak kesayangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datin Marina selaku ahli panel menghadapi kesukaran meyakinkan hadirin supaya keluar mengundi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. 

Selain daripada menghentam kerajaan Barisan Nasional seperti biasa, mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepada mereka dengan meyakinkan. Lebih memparahkan lagi keadaan adalah apabila penyokong pembangkang meluahkan isi hati keluhan mereka:

“Apa agenda Bersih kali ini? Apa yang kami akan dapat daripada keluar mengundi. Bersih sudah masuk sembilan tahun. Setiap tahun kami buat demonstrasi untuk tukar kerajaan, tapi setiap masa sudah kali ke-13 Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya.”

Bukan sahaja ‘orang kuat’ gabungan Bersih 2.0 itu terkilan dengan khalayak mereka yang ‘lain macam’ kali ini, malah ter­kesima pula apabila diasak de­ngan soalan-soalan dan jawapan sinis, antaranya:

“Cerita pasal perisytiharan BN dan ‘pilih BN, (maknanya) undi ke arah rasuah’? … tapi kenapa masih ada Exco-Exco (kerajaan PKR Selangor) yang belum isytihar harta.

“Amboi! Panggil tema forum ini ‘Satukan Tenaga Kalahkan Penipuan’ tapi kenapa (Pakatan Harapan) tak cerita pasal tunnel (rancangan bina terowong dasar laut yang cetuskan kontroversi di Pulau Pinang)?”.

Selain itu, sikap ahli panel yang seolah-olah menganggap mereka sendiri sebagai ‘elit’ yang jelas memandang rendah Bahasa Melayu turut menimbulkan kejengkelan di kalangan hadirin. Kebongkakan mereka ditegur oleh Yamin Salim, Ketua Cawangan Parti Amanah Negara (PAN) Shah Alam yang mempersoalkan mengapa mereka menggunakan Bahasa Inggeris sepanjang forum walaupun media jemputan dan slogan semuanya dalam Bahasa Melayu. 

“Saya tidak faham mengapa slogan Satukan Tenaga Kalahkan Penipuan dalam Bahasa Malaysia tetapi setiap orang yang duduk di atas pentas hanya bercakap dalam Bahasa Inggeris. Saya yang rasa tertipu ketika ini,” katanya.

 “Semua boleh bercakap dalam bahasa Malaysia tetapi mereka gemar bertutur dalam bahasa Inggeris. Seperti slogan, saya juga rasa tertipu. Buang masa saya datang apabila semuanya dalam Bahasa Inggeris. Ada yang tidak faham.

“Mengapa tidak fikir semua itu? Yang datang pada hari ini dari pelbagai latarbelakang. Saya rasa ini tidak patut,” luahnya.

Marina yang kemudian bertindak menjawab pertanyaan itu kelihatan ‘keliru’ kerana tidak menyangka beliau bersama ahli panel telah bertutur dengan bahasa Inggeris.

“Saya minta maaf, memang pada asalnya penganjur minta kami guna dwi bahasa tetapi tidak pasti mana salahnya, kita hanya menggunakan bahasa Inggeris. Kami akan pastikan kesilapan seperti tidak berlaku pada masa hadapan,” 

Jawapan yang diberikan jelas menunjukkan ahli-ahli panel bersifat bongkak kerana perlu ‘diingatkan’ untuk menggunakan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan tetapi masih lagi tidak menggunakannya dan sebaliknya menggunakan Bahasa Inggeris yang sudah tentunya ‘lebih bergaya’.

Mungkin suatu ketika dahulu rakyat Malaysia memilih BERSIH 2.0 untuk memperjuangkan agenda mereka kerana melihat NGO berkenaan bersikap berkecuali. Tetapi rakyat dapat melihat bahawa BERSIH hanya merupakan jentera Pakatan Harapan yang diketuai oleh golongan elit yang tidak menyelami naluri rakyat.

Comments