SENARAI BANTUAN KERAJAAN 2018 YANG RAMAI ORANG TAK TAHU


Bagi anda yang sedang mencari bantuan kerajaan 2018, berikut dikongsikan antara bantuan yang masih aktif beroperasi bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia.

Terdapat beberapa bantuan baru diumumkan ketika pembentangan Bajet 2018 pada Oktober tahun lalu seperti Amanah Dana Anak Malaysia 2050 yang menyediakan hadiah RM200 kepada bayi yang lahir bermula 1 Januari tahun ini. Berikut adalah senarai-senarai bantuan kerajaan 2018 yang boleh dimanfaatkan oleh golongan rakyat yang layak menerima bantuan berkenaan.

SENARAI BANTUAN KERAJAAN 2018

1. AMANAH SAHAM 1MALAYSIA (AS1M)

AS1M adalah satu pelaburan saham yang disokong oleh pihak kerajaan. Melalui pelbagai portfolio pelaburan yang ditawarkan, AS1M menawarkan aliran pendapatan tetap untuk setiap pemegang unit amanah sambil mengekalkan modal pelaburan mereka untuk jangka masa panjang.

2. BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA (BR1M)

Pemberian BR1M mula diperkenalkan pada tahun 2012. Ia akan memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dari seluruh Malaysia. Ia adalah sebuah polisi pembayaran secara sekali untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah atau individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Peserta di bawah program eKasih dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah akan turut menerima BR1M.

3. KAD DISKAUN SISWA 1MALAYSIA (KADS1M)

KADS1M adalah inisiatif baru bagi menggantikan Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M). Bagi pelajar yang layak, bantuan RM250 BB1M akan dikreditkan ke akaun bank melalui KADS1M. Pelajar perlu mendaftar dengan Bank Rakyat untuk melayakkan mereka menerima kad ini. Pelajar juga akan menerima diskaun daripada premis-premis yang mengambil bahagian.

4. KLINIK 1MALAYSIA

Klinik 1Malaysia ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk setempat. Terdapat 361 buah Klinik 1Malaysia di seluruh negara dan kesemuanya terletak di kawasan strategik yang berdekatan dengan kawasan perumahan.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah perkhidmatan rawatan ringan seperti demam, batuk, selsema; rawatan susulan kes pesakit kronik yang stabil termasuklah penyakit kencing manis, darah tinggi dan prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan buka jahitan; serta perkhidmatan ujian makmal seperti ujian air kencing, ujian HIV dan ujian tibi.

Dikendalikan oleh jururawat dan pembantu hospital, klinik ini sentiasa dipantau oleh Jabatan Kesihatan bagi memastikan kemudahan dan bekalan ubat mencukupi. Setiap lawatan dikenakan caj hanya RM1 bagi warganegara dan percuma untuk warga emas. Ia beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam termasuk cuti umum dan hujung minggu.

5. PERUMAHAN PENJAWAT AWAM 1MALAYSIA (PPA1M)

Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) adalah skim rumah mampu milik yang dilancarkan pada 2013 khusus buat penjawat awam. Inisiatif ini dicipta bagi membolehkan penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana dapat membeli rumah terutamanya di bandar-bandar utama.

Skim ini menekankan aspek rekabentuk, kualiti, saiz, lokasi dan harga berpatutan sesuai untuk penjawat awam. 

6. PERUMAHAN RAKYAT 1MALAYSIA (PR1MA)

PR1MA dibina bagi menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia mendapatkan rumah idaman mereka pada harga mampu milik. Khusus untuk rakyat berpendapatan sederhana, projek PR1MA sedang dibangunkan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Ia akan diperluaskan ke negeri-negeri lain.

7. SKIM MYDEPOSIT

MyDeposit 2018 adalah satu insentif kerajaan dengan menyediakan bantuan deposit 10% daripada harga jualan hartanah di bawah RM500,000.

Permohonan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama kini dibuka bermula 15 Disember 2017 sehingga 15 Februari 2018.

Kerajaan telah memperuntukkan RM25 juta bagi meneruskan pelaksanaan Skim MyDeposit 2018.

8. AMANAH DANA ANAK MALAYSIA 2050

Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau ADAM50 telah diperkenalkan pada pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini. Berikut dikongsikan panduan cara memohon skim ADAM50 bagi setiap bayi yang lahir bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Mengikut satu laporan media, sebanyak RM100 juta setahun dijangka dibelanjakan bagi pembiayaan skim tersebut.

9. SKIM LATIHAN 1MALAYSIA (SL1M)

SL1M ialah program yang menyasarkan golongan belia untuk meningkatkan kebolehgajian graduan baru yang menganggur. Menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat dari sektor swasta, program ini menyediakan latihan dan latihan amali untuk graduan baru.

Dengan bantuan-bantuan ini, diharap ianya dapat dimanfaatkan oleh golongan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah. Kerajaan sentiasa menfokuskan kepada kebajikan rakyat dan sentiasa komited bagi memastikan kehidupan rakyat dijaga serta diberi keutamaan.

Comments