MENYOROT KEMBALI KRISIS PERLEMBAGAAN
Oleh, Mat Ali
Sungguhpun struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang diumumkan baru-baru ini mengejutkan ramai, bagi mereka yang telah masak dengan dunia politik Malaysia, ia hanya merupakan satu percaturan politik Pakatan Harapan untuk menumbangkan Dato’ Sri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri (PM) yang pernah dicaci dan dimaki hamun oleh pembangkang pada satu ketika dahulu diraihkan pula sekarang sebagai calon PM dalam struktur kepimpinan tersebut. Kononnya strategi pakatan pembangkang ini adalah untuk menarik undi kaum Melayu dan pengundi atas pagar yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.
Wajah sebenar Tun Dr Mahathir
Begitupun, golongan muda itu hanya mengetahui wajah Tun Dr Mahathir sebagai bekas PM yang sinonim dengan dasarnya yang menambat nilai ringgit bagi menghadapi krisis ekonomi Asia di lewat tahun 90-an.
Pernahkah mereka melihat wajah beliau sebenarnya yang memporak-perandakan sistem pentadbiran negara di penguhujung tahun 80-an, tatkala kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO diasak oleh Tengku Razaleigh@ Kuli dalam pemilihan parti pada tahun 1987? Barangkali ramai yang tidak tahu, ataupun tidak kisah langsung.
Segalanya bermula apabila Team A yang diterajui Tun Dr Mahathir hanya menang tipis dalam pemilihan parti Umno pada tahun itu. Susulan keputusan tersebut, Team B Umno yang diterajui oleh Kuli membuat aduan- berlaku manipulasi dalam pemilihan parti tersebut. Aduan beliau telah melalui proses perbicaraan dan dibawa ke peringkat Mahkamah Agong.
Sementara menunggu keputusan mahkamah itu, Tun Dr Mahathir yang tidak mahu merisikokan jawatannya sebagai PM, dengan segera mengatur muslihatnya untuk memecat Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara pada ketika itu yang bertanggung jawab mengeluarkan keputusan berkaitan pemilihan parti Umno 1987, yang didakwa telah dimanipulasi.
Negara diporak perandakan dek kuasa
Helah Tun Dr Mahathir untuk terus memegang tampuk pentadbiran negara telah menyebabkan negara diheret ke kancah huru-hara. Bagi menyemarakkan keadaan huru-hara itu, beliau bersama penyokong tegarnya telah sanggup menggunakan alasan: Ketuanan Melayu diancam oleh kaum Cina dan ramai Melayu Islam ditukarkan agama kepada agama Kristien oleh pendakwah Kristien.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga menakut-nakutkan kaum bukan-Melayu untuk mengadakan perarakan anggota Umno ramai-ramai.
Walhal, momokan Tun Dr Mahathir itu adalah untuk mengalihkan perhatian umum daripada kontroversi sebenar di antara Team A dab B dalam parti Keramat Melayu itu.
Justeru, alasan-alasan ini juga digunakan oleh beliau untuk menjustifikasikan “Ops Lalang” yang menyaksikan ramai pemimpin politik dan aktivis sama ada di sebelah pembangkang atau BN ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
Pemecatan Tun Salleh Abbas dan kesannya terhadap perlembagaan
Setelah perhatian umum berjaya dialihkan, Tun DR Mahathir berjaya membabitkan Tun Salleh Abbas dengan penyalahgunaan dana awam dan seterusnya menggunakan alasan tersebut untuk memecat bekas Ketua Hakim Negara itu serta 3 lagi hakim Mahkamah Agong dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), pada tahun 1988. Seterusnya, Tun Salleh Abbas digantikan oleh Ketua Hakim Negara baharu yang sehaluan dengannya.
Dengan pemecatan tersebut, maka bermulalah era baharu Tun Mahathir dengan doktrin pengasingan kuasa yang tidak seimbang di antara badan kehakiman, legislatif ataupun perundangan dan eksekutif.
Sayugia, ketiga–tiga badan tersebut menjadi teras kepada mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi. Namun, kerakusan Tun Dr Mahathir terhadap kuasa telah menyaksikan kebebasan badan kehakiman yang dilindungi di bawah perlembagaan itu dicabut taringnya. Natijahnya, sehingga kini, ia terus dibayangi pengaruh badan eksekutif dan badan perundangan.
Penyebab krisis perlembagaan diraihkan lagi
Sungguhpun demikian, penyebab utama kecacatan sistem demokrasi negara kita, Tun Dr Mahathir, sekali lagi diraihkan sebagai calon PM! Namun kini, dalam struktur kepimpinan pembangkang!
Struktur kepimpinan alternatif pembangkang ini jelas memperlihatkan, perjalanan negara ke arah negara demokrasi yang sempurna tidak sedekat mana; melainkan BN memilih untuk memperjuangkan doktrin pengasingan kuasa mengikut perlembagaan seperti sedia kala, iaitu sebelum berlakunya krisis perlembagaan.
Wallahu A’lam
Comments
Post a Comment