Parti tertua di Malaysia iaitu UMNO merupakan parti keramat orang Melayu yang tetap kukuh dan relevan di Malaysia. UMNO kini yang menjengah usia 71 tahun telah mencatatkan jumlah keahlian sebanyak 3,644,295 orang dengan sebanyak 21,851 cawangan di seluruh negara sehingga 30 November lalu.
Jelas sekali laporan ini menunjukkan bahawa parti ini masih relevan di kalangan orang-orang Melayu dan keahlian UMNO yang terus meningkat sekali gus membuktikan bahawa parti berkenaan sentiasa mendapat sokongan. Malah inilah satu-satunya persidangan yang menghimpunkan bangsa Melayu sebagai sebuah parti politik, berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu, demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO adalah parti yang mempunyai struktur yang mantap, organisasi tersusun, ada Perlembagaan dan peraturan serta patuh kepada undang-undang serta menepati kehendak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Di samping itu juga perhimpunan UMNO ini bukan sahaja platform untuk anggota parti akar umbi mendengar amanat dan amanah daripada pemimpin, tetapi juga lambang kebersamaan dalam parti itu yang meliputi semua peringkat. Suasana di PWTC, yang menjadi venue parti terbesar orang Melayu dengan keanggotaan kira-kira 3.6 juta orang, ibarat lautan merah apabila anggota perwakilan memakai baju Melayu dan baju kurung berwarna merah, lambang kekuatan dan keperkasaan solidariti parti sempena perhimpunan agung tahunan parti UMNO 2017.

Comments
Post a Comment