KERAJAAN PULAU PINANG GAGAL BINA PERUMAHAN UNTUK BUMIPUTERA


Sejak 2009, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah membina sebarang rumah bagi menggantikan kuota perumahan Bumiputera yang dilepaskan. Kekurangan rumah mampu milik di negeri Pulau Pinang jelas menunjukkan bahawa Kerajaan negeri gagal menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat khususnya golongan bumiputera.

Kerajaan negeri sebenarnya lebih berbangga menunjukkan kemampuan mengumpul wang dan simpan dalam tabung daripada menyediakan perumahan untuk dimiliki Bumiputera Pulau Pinang. Pendekatan ini dari segi moral dan sosial adalah satu penafian hak Bumiputera untuk memiliki rumah.

Manakala Kerajaan Persekutuan pula tidak pernah memungkiri janjinya kepada rakyat Pulau Pinang apabila 34 projek telah siap dilaksanakan oleh empat agensi dan jabatan kerajaan persekutuan bagi menyediakan sejumlah 5,950 unit Perumahan Mampu Milik di Pulau Pinang bagi tempoh 2008 hingga 2016.

19 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan pada masa ini melibatkan pembinaan 4,017 unit, manakala sejumlah 39 projek baharu sedang dirancang untuk dilaksanakan dan akan melibatkan pembinaan 46,602 unit di seluruh Pulau Pinang.

Keseluruhannya, jumlah unit Perumahan Mampu Milik yang telah siap dibina, sedang dalam pelaksanaan dan dalam perancangan untuk dibina bagi Pulau Pinang oleh kerajaan persekutuan melalui agensi dan jabatannya bagi tempoh 2008 hingga 2018 ialah 56,569 unit. 

Jelas sekali, Kerajaan Persekutuan lebih komited untuk membina rumah mampu milik berbanding Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kerajaan DAP Pulau Pinang pula hanya pandai menyalahkan Kerajaan pusat dan hanya pandai mengambil kesempatan untuk menjuarai isu ini walhal mereka tidak membuat apa-apa!

Comments