JANJI DITEPATI JAMBATAN RAKYAT : JAMBATAN KUALA TATAU SATU LAGI KEMUDAHAN BUAT RAKYAT SARAWAK


Beberapa tahun lalu janji kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu membuat jambatan Kuala Tatau hanyalah sebuah mimpi, namun Kuala Tatau telah menemui evolusinya kerana jambatan itu kini sudah siap.  Semasa kempen pilihan raya Negeri ke-10 agak ramai yang mencebik bibir. Tentulah kurang sedap didengar oleh telinga, kata-kata sinis segelintir masyarakatyang memandang rendah bahkan tidak segan-segan menghambur kata-kata hinaan dan cacian yang pelbagai.

Sebagai wakil rakyat bagi DUN N58 Jepak pada ketika itu dan sekarang DUN N68, Datuk Talib Zulpilip menelannya ibarat memakan buah simalakama. Begitulah resam sebagai ahli politik ada yang suka dan ramai juga yang tidak suka. Berbuat baik susah apatah lagi tidak berbuat apa-apa. Setiap pengorbanan langsung tidak menuntut sebarang penghargaan waima ucapan terima kasih.

Pun begitu segala perancangan politik dan pembangunan kawasan pesisir terus menjadi agenda utama kerajaan. Kesedaran untuk memajukan tahap sosioekonomi penduduk luar bandar terus digalas tanpa kompromi oleh para pemimpin Sarawak. Namun berkat usaha secara kolektif akhirnya setiap perancangan dapat berjalan dengan lancar. Keseimbangan dan kestabilan politik Sarawak merupakan teras utama untuk terus membangunkan segenap kota dan desa di negeri Sarawak yang cukup luas dan permai.

Pada hari ini DUN Jepak mampu tersenyum lega di hadapan para pengundinya. Pada 2 Disember 2017 jambatan sejauh 724.86 meter yang menghubungkan pesisir Bintulu, Balingian, Mukah, Oya dan Dalat dapat digunakan. Tranformasi sistem perhubungan darat ini mampu menjimatkan masa dan minyak setiap penggunanya. Seperti yang diharapkan jambatan ini mampu meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi penduduk pesisir yang mendambakan pembangunan sejak sekian lama.

Besarnya impian rakyat luas lagi harapan para pemimpin yang memikul amanah untuk memajukan setiap dareah di Sarawak termasuk Kuala Tatau. Pertengahan September 2016, Jambatan Sadong Jaya telah dibuka kepada umum. Jambatan yang menelan belanja RM230 juta tersebut telah menzahirkan kegembiraan kepada penduduk kawasan Muara Tuang-Asajaya-Sadong Jaya-Simunjan dan Sebuyau tanpa perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri.

Nikmat pembangunan sebegini tidak mungkin mampu dirasai apabila kedudukan politik yang lemah dan tidak stabil. Kekuatan dan dokongan rakyat memberi peluang kepada kepimpinan negeri untuk terus merancang dan melakukan tranformasi untuk Sarawak yang lebih maju. Inspirasi Jambatan Sadong Jaya ibarat menggeletek perasaan penduduk Kuala Tatau dan pesisir Bintulu untuk turut sama merasai kegembiraan dengan siapnya Jambatan Kuala Tatau ini. Ternyata Jambatan Sadong Jaya satu inspirasi dan Jambatan Kuala Tatau pula bukan lagi mimpi dan ilusi.

Comments