KERJASAMA PAS DAN UMNO DEMI MELAYU DAN ISLAM



UMNO dan PAS sedia dan boleh bekerjasama secara berprinsip ta'awun dan tabayyun. Namun begitu PAS baru sahaja pulih daripada pengalaman pahit tujuh tahun lalu menyulam tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP. Malah dalam hubungan itu PAS telah ditalak daripada Pakatan Harapan melalui tindakan unilateral DAP.

Apa yang menyedihkan PAS adalah satu lagi kerabat PKR yang dipimpin oleh Wan Azizah hanyalah bungkam, kelu dan hanya memerhatikan sahaja tindakan DAP itu. PKR pula lebih pilih sikap berdiam diri dan tidak mahu mencampuri sengketa di antara DAP dan PAS kerana mempunyai kepentingan memelihara hubungan baik dengan kedua-dua parti itu.

PKR terjebak dalam keadaan ditelan mati emak, diluah mati bapa kerana PKR memerlukan kerjasama DAP dan PAS bagi memastikan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin PKR tidak goyah. Tahaluf siyasi yang diamalkan oleh PKR sebenarnya menjadi sketsa orang beristeri dua di mana tidak jujur kepada kedua-dua parti berkenaan demi memelihara keharmonian dan kedudukan parti itu di Selangor.

Kini setelah PAS memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP dan PKR, PAS semakin insaf, bertindak matang dan mengamalkan politik sejahtera seperti kata pepatah ''menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak''.

PAS tidak mungkin mahu bekerjasama dengan parti baru Mahathir Parti Pribumi Bersatu Malaysia kerana Mahathir adalah bekas musuh ketat PAS. PAS tidak pernah lupa sikap kasar Mahathir terhadap PAS ketika menerajui UMNO, Mahathir sering mengejek dan memperlekehkan PAS, terutama sekali Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

PAS tidak boleh lupa kedurjanaan politik Pakatan Harapan tidak lain tidak bukan DAP dan AMANAH. DAP sudah pun mengisytiharkan mereka tidak lagi memerlukan PAS dalam kamus politik parti itu manakala dalam kes AMANAH, PAS enggan berkawan dengan parti Mat Sabu itu.

Hakikatnya PAS kini berhadapan dengan pengkhianat-pengkhianat perjuangannya. Jika PAS bersatu tenaga dengan UMNO, banyak kebaikan dan manfaat yang diperolehi PAS. UMNO parti Melayu-Islam yang terbesar di negara ini dengan keahlian hampir 3.5 juta dan PAS pula adalah parti Melayu Islam kedua terbesar dengan ahli hampir 1 juta orang.

Sekiranya PAS dan UMNO bekerjasama dengan mudahlah kedua-dua parti itu menundukkan parti-parti yang dipimpin oleh majoriti Melayu seperti PKR, Amanah dan PPBM. PAS tidak akan sesekali tergopoh-gapah PAS akan tetap berhati-hati dalam memilih pasangan politik.

Kesimpulannya kerjasama antara PAS dan UMNO akan meninggalkan kesan yang sangat besar dalam mengukuhkan perpaduan umat Islam malah dapat memperbaiki lagi konsep PAS for All yang selama ini dijaja bersama DAP. Lebih mudah lagi PAS bekerjasama dengan UMNO jika mahu dibandingkan dengan PKR, Amanah dan PPBM kerana UMNO parti Islam.

Comments