ISU WISMA TOK GURU : HUSAM MUSA TIDAK MAHU BERI MUKA PADA PAS



Bangunan Wisma Tok Guru dinamakan atas nama Tok Guru sebagai memperingati bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 12 Feb 2015.

Husam sebelum ini ialah wakil rakyat PAS sebelum dipecat pada 6 Mei 2016 ekoran krisis dalaman parti itu yang menyaksikan hampir semua pemimpin beraliran sederhana diketepikan perwakilan muktamar pada 2015.

Semasa di dalam PAS Husam pernah dilantik menjadi setiausaha politik Nik Abdul Aziz, anggota parlimen Kubang Kerian dan naib presiden parti.

Sebelum ini exco Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud mendakwa tapak tanah itu adalah milik kerajaan. Nassuruddin mempertikaikan tindakan Husam dari AMANAH yang terus menggunakan kemudahan berkenaan walaupun sudah meninggalkan PAS dan menggunakan pejabat PAS (Wisma Tok Guru).

Husam Musa pula mendapat maklumat ada beberapa perkembangan yang dianggap luar daripada kebiasaan berkaitan status tanah berkenaan.

Antara yang dibangkitkannya dalam sesi penjelasan itu ialah kemampuan kewangan individu membelinya daripada balu Allahyarham Rosli serta proses penukaran hak miliknya. Sebagai rekod, Ahmad Rosli ialah bekas setiausaha UMNO Kelantan dan pernah bergiat bersama Tengku Razaleigh Hamzah dalam Semangat 46. Beliau meninggal dunia pada 27 Julai lalu.

Pada masa sama Husam mendakwa beliau diberi kebenaran oleh Rosli untuk menggunakan tapak itu melalui sepucuk surat sebelum ini.

AMANAH Kelantan akan mencabar arahan mengosongkan bangunan Wisma Tok Guru yang menempatkan pejabat mereka selepas menerima notis berkenaan secara rasmi.

Naib presiden parti AMANAH, Husam Musa akan memfailkan kes berkenaan di mahkamah apabila notis yang didakwa dikeluarkan oleh pemilik tanah dan bangunan itu diterimanya.

Baru-baru ini, berlaku pertembungan tegang dan panas di antara PAS dan parti serpihannya, AMANAH yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAN negeri, Hazmi Hassan, apabila penyokong kedua-dua parti itu berebut untuk menguasai Wisma Tok Guru dekat Kampung Pendek, Salor.

Perhimpunan di Wisma Tok Guru itu diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadzli Shaari yang mendesak agar AMANAH mengosongkan premis bangunan tersebut setelah AMANAH menerima notis pengosongan. Tindakan ini jelas sekali menunjukkan hubungan tegang antara PAS dengan AMANAH di mana PAS mahu AMANAH dinyahkan dari Kelantan.

Comments