DAP MAHU BERTANDING 4 DUN DI KELANTAN ! PAS ANGGAP ITU HANYA HIBURAN



Masyarakat Cina di negeri ini yang selama ini hidup sejahtera di bawah pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan sejak 27 tahun lalu diyakini tidak mudah mengalih sokongan kepada DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Datuk Annuar Tan Abdullah berkata, jika DAP benar-benar mahu mencuba nasib di Kelantan, penyertaan parti itu hanya akan dianggap sebagai hiburan semata-mata.

Malah katanya, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 1999 biarpun DAP menyatakan hasrat mahu memecah tradisi di Kelantan dengan bertanding di kawasan DUN Kota Lama.

“Lebih ramai bertanding lebih meriah, kedai kopi pun banyak laku, rakyat boleh dengar ceramah dengan macam-macam isu, rakyat pun suka.

“Jika bertanding mereka hanya jadi hiburan sahaja. Malah DAP mungkin hilang deposit. Saya yakin masyarakat Cina tetap bersama Pas,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan 27 Tahun Membangun Bersama Islam di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

DUN Kota Lama dikatakan bakal berlaku pertembungan empat penjuru apabila DAP dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhasrat mahu bertanding di kawasan tersebut, selain Pas dan Barisan Nasional (BN).

Selain DUN Kota Lama, 3 lagi DUN yang bakal ditandingi DAP pada PRU-14 akan datang. Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih belum diputuskan dalam pembahagian kerusi Pakatan Harapan.

Kawasan itu dimenangi Annuar selama empat penggal berturut-turut. - UTUSAN ONLINE

Comments