Gerakan Anti Arak Murah melancarkan petisyen dengan 100,000 tandatangan sokongan yang diketuai oleh Ketua Penyelarasnya P. David Marshel baru-baru ini adalah kerana mereka mahu arak-arak ini diharamkan di negeri Pulau Pinang.
David Marshel yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memberitahu, langkah itu demi mendesak Kerajaan Negeri mengharamkan terus arak murah dalam pasaran, khususnya di Pulau Pinang.
Terdahulu, David Marshel dan seorang lagi Ahli Majlis MPSP, M. Satees pernah mempertimbangkan cadangan mengharamkan penjualan arak murah, atas sebab berisiko untuk mereka daripada keluarga berpendapatan rendah menghidapi penyakit barah.
Mereka mencadangkan sedemikian berdasarkan maklumat mesyuarat MPSP yang mendedahkan, dari 369 premis yang menjual arak (Likuor) yang diberikan lesen, sebanyak 250 premis adalah di pasaraya dan kedai runcit di sekitar Perbandaran Seberang Perai.
Tindakan ahli majlis DAP ini ternyata bercanggah dengan pendirian Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang ternyata mahu mana-mana pesta arak diteruskan di negeri Pulau Pinang atau negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan seperti Pesta Arak Oktoberfest yang akan dianjurkan pada bulan ini.
Oleh itu, Lim Guan Eng tidak mahu kedua-dua ahli majlis DAP ini memperbesarkan isu ini kerana risau tanggapan negatif masyarakat Cina dan India terhadap DAP yang mahu mengharamkan penjualan arak di negeri itu.
Percanggahan pandangan ini jelas menunjukkan bahawa Lim Guan Eng David Marshel dan M. Satees mempunyai pandangan yang berbeza berhubung isu arak ini. Lim Guan Eng dilihat mahu mempertahankan isu arak di negeri Pulau Pinang berbanding mendengar pandangan ahli majlisnya.

Comments
Post a Comment