SELEPAS PPBM GOYAH KINI PKR DILANDA GELORA DI BATU PAHAT, JOHOR



Tindakan tiga pimpinan PKR Cabang Batu Pahat iaitu Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Bendahari dan Ketua Penerangan hari ini mengisytiharkan keluar parti dan memohon menyertai UMNO semestinya akan mengejutkan PKR dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Idris Jusi.

Mohd Firdaus Esa, Mohd Azhar Ahmad dan Mohd Hafizi Johari bersama empat lagi ahli PKR cabang itu mengumumkan keluar parti dan memohon menyertai UMNO selepas hilang kepercayaan dengan pimpinan PKR dan Datuk Mohd Idris Jusi.

Ketiga-tiga individu ini keluar parti selepas kecewa dengan kepimpinan PKR Cabang Batu Pahat dan kepimpinan PKR negeri yang didakwanya tiada lagi agenda membela nasib rakyat terutama orang Melayu.

Salah satu faktor utama yang mendorong keputusan keluar parti ini diambil adalah kerana mereka hilang kepercayaan terhadap Ahli Parlimen Batu Pahat yang ternyata lebih banyak menghilangkan diri daripada berkhidmat pada rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketiadaan Ahli Parlimen Batu Pahat menyukarkan mereka turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat kerana mereka tidak pernah sekali pun diberikan peruntukan atau dana untuk disalurkan kepada masyarakat memerlukan di Batu Pahat.

Kemelut politik PKR di Batu Pahat telah menyebabkan pucuk pimpinan PKR Cabang Batu Pahat hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Idris Jusi. Ternyata pemimpin-pemimpin PKR hanya pandai berpolitik tetapi apabila memenangi kerusi pada pilihanraya lalu mereka tidak turun padang untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

Bukan sahaja pucuk pimpinan dan ahli PKR Cabang Batu Pahat kecewa dengan situasi ini dan diyakini bahawa rakyat juga amat kecewa dengan prestasi Ahli Parlimen Batu Pahat.

Comments