Tanggapan kononnya pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembelian pesawat Boeing oleh Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) bertujuan untuk membeli pengaruh Amerika Syarikat (AS) dan hanya menguntungkan negara itu merupakan satu lagi putar belit yang tidak benar sama sekali.
Ironinya semua pelaburan KWSP termasuk yang dibuat di AS dilakukan secara ketat dan cermat bagi memastikan pulangan keuntungan kepada pencarum. Begitu juga dengan pembelian pesawat Boeing di mana ianya adalah untuk menjadikan MAB sebuah syarikat penerbangan kompetetif dan menunjukkan pelan rasionalisasi berjalan dengan baik berikutan kemampuan syarikat itu membeli pesawat moden.
Dalam hal ini, kita perlu berfikir ke hadapan seperti syarikat AS melabur di negara kita kerana mahukan keuntungan. Kejayaan Malaysia yang kini menjadi pengeksport modal adalah petunjuk bahawa kita adalah negara berjaya.
Dalam pertemuan dengan Presiden Donald J Trump, Perdana Menteri Najib Tun Razak telah mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan pesawat. Malaysia komited membeli 25 pesawat 737 MAX 10 dan lapan pesawat 787 Dreamliners dan kemungkinan menambah 25 lagi 737 MAX 10 pada masa depan. KWSP pula merancang melabur hingga AS$4 bilion lagi sebagai tambahan kepada hampir AS$7 bilion sekarang.
Pencapaian kewangan KWSP yang cemerlang sememangnya tidak dapat dinafikan. Tahun ini sahaja KWSP melaporkan pendapatan pelaburan sebanyak RM11.79 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2017, peningkatan 73.9 peratus berbanding RM6.78 bilion dalam suku tahun pertama 2016.
Sudah pasti KWSP telah membuat kajian terperinci ke atas mana-mana pelaburan yang dibuat dan semestinya pelaburan yang dibuat KWSP adalah lebih menjurus kepada pelaburan-pelaburan yang mengaut keuntungan.
Manakala bagi MAB, keperluan pesawat baru adalah bertujuan sebagai langkah pemulihan. Dengan pembelian pesawat baru ini sememangnya ia akan dapat mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan pesawat-pesawat MAB. Sekiranya pesawat-pesawat uzur ini tidak diganti maka MAB akan terus bergelut dengan kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi yang akan membataskan keuntungan MAB.

Comments
Post a Comment