KEWANGAN INVOKE PERLU DIAUDIT , JANGAN BIAR RAFIZI TAI CHI!



Pengasas INVOKE Malaysia, sebuah NGO yang mempunyai kaitan dengan Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR kini sudah lebih setahun ditubuhkan. Kini Rafizi sedang meraikan ulang tahun pertama pertubuhan itu.

Menurut Rafizi, sejumlah besar dana NGO itu sejak penubuhannya tahun lepas pada 30 April, ialah hasil derma dan jualan perkhidmatan yang dilakukan secara sukarela berjumlah RM1,063,066.

Turut didedahkan ialah sejumlah RM787,049 daripada RM2,780,652 milik NGO dalam akaunnya datang dari Rafizi.

Katanya lagi, wang itu ialah simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera miliknya yang dikeluarkannya sebelum dimasukkan ke dalam akaun INVOKE.

Dia juga menambah yang dia menyerahkan sejumlah wang daripada gajinya sendiri kepada NGO terlibat dan menggunakan kad kredit peribadinya untuk membayar sebahagian bil INVOKE.

Namun terdapat banyak persoalan yang boleh dilontarkan mengenai dana RM2.7 juta yang diterima dan dibelanjakan oleh INVOKE. Persoalan ini juga turut dibangkitkan oleh pemimpin dan ahli-ahli PKR.

Walaupun Rafizi dilihat seolah-olah telah menjawab persoalan yang dibangkitkan, namun pada hakikatnya dia masih tidak menjawab secara terang. Pada masa yang sama dia cuba mengalihkan isu ke sana- sini.

Antaranya persoalan yang belum terjawab Rafizi adalah:

Butiran lengkap mengenai derma orang ramai sebanyak RM857,000. Siapa yang menderma? Waktu bila? Di mana?

Butiran kutipan langganan perkhidmatan sukarelawan sebanyak RM1.063 juta. Siapakah sukarelawan ini, berapa ramai yang melanggan perkhidmatan ini?

Bukti bahawa beliau telah melaburkan duit ASB dan Tabung Haji miliknya ke dalam INVOKE sebagai modal. Tidak pernah ditunjukkan sebarang bukti pengeluaran dan kemasukan wang.

Sewa pejabat Invoke berbelas buah di seluruh negara. Benarkah? Bukankah pejabat-pejabat INVOKE banyak beroperasi di pejabat cabang PKR?

Bayaran gaji 80 orang kakitangan sepenuh masa INVOKE dengan purata gaji mereka adalah RM1100 sebulan. Apakah bukti mereka ini menerima gaji dari INVOKE seperti pendaftaran/pemotongan KWSP dan Socso? Tidak pernah pun ditunjukkan oleh Rafizi sebagaimana selama ini beliau sering mengaku beliau seorang yang telus.

Apa yang kelakar, Rafizi selalu membangkitkan soal pekerja yang dibayar gaji rendah dan terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi. Tetapi Rafizi sendiri membayar gaji yang rendah kepada pekerja INVOKE.

Sebenarnya, banyak lagi persoalan yang boleh dibangkitkan mengenai kewangan INVOKE. Jika Rafizi telus, dia sepatutnya membenarkan INVOKE diaudit. Namun yang demikian, seperti mana yang kita tahu, Rafizi adalah seorang yang licik dan pandai memutar belit fakta.

Sudah pasti Rafizi akan mengeluarkan jawapan bersifat ‘politik’ untuk mengalihkan isu dan menyelamatkan INVOKE daripada tersungkur. Rafizi dan INVOKE perlu diberi tekanan dari pelbagai sudut agar persoalan-persoalan ini boleh dijawab.

Comments