DAP KECEWA DENGAN TINDAKAN DBKL BATAL PENGANJURAN PESTA ARAK



Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil keputusan untuk menolak permohonan penganjuran pesta arak “Better Beer Festival 2017” yang dijangka berlangsung bulan depan. 
Tindakan DBKL itu dipuji parti PAS kerana memberi aspirasi kepada rakyat Malaysia terhadap program yang dilihat tidak bermoral dan menjurus kepada kerosakan minda masyarakat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan DBKL yang telah menolak permohonan penganjuran pesta arak itu.

Titik tolak tindakan DBKL itu merupakan satu amaran kepada mana-mana pihak supaya mematikan hasrat untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kepada aktiviti kemaksiatan tidak berakhlak seperti itu. Diharap ia menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hub aktiviti tidak bermoral dan tidak berakhlak.

Walaubagaimanapun keputusan DBKL ini mendapat kecaman hebat dari parti DAP dan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pemimpin-pemimpin DAP dan PKR iaitu Tan Kok Wai, Ahli Parlimen DAP Cheras, Fong Kui Lun, Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Teresa Kok, Ahli Parlimen DAP Seputeh, Lim Lip Eng, Ahli Parlimen DAP Segambut dan Dr Tan Kee Kong, Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju dalam kenyataan bersama mengkritik keputusan DBKL menolak permohonan penganjuran pesta arak “Better Beer Festival 2017” di Ibu Negara.

Mereka menyatakan keputusan DBKL itu adalah tunduk pada desakan politik serta tidak mempedulikan semangat muhibah pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Reaksi negatif pemimpin DAP dan PKR terhadap pembatalan pesta arak ini menunjukkan bahawa mereka langsung tidak menghiraukan sensiviti rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam di negara ini. Tindakan mereka ini jelas tidak menghormati sensiviti umat Islam dengan terus menyokong penganjuran pesta arak ini.

Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim sebelum ini dilaporkan menyokong penuh penganjuran pesta arak berkenaan dengan memberi alasan Malaysia sebuah negara demokrasi dan semua pihak berhak melakukan apa saja aktiviti selagi tidak menyalahi undang-undang.

Sementara itu, difahamkan bahawa rakan-rakan sekutu DAP seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR dianggap bersetuju dengan program tersebut ekoran tiada sebarang komen dari mereka berhubung pesta arak tersebut.

Reaksi balas daripada pemimpin-pemimpin DAP berhubung tindakan DBKL membatalkan permohonan penganjuran pesta arak ini menunjukkan bahawa DAP berkeras mahu pesta ini diteruskan. Cuba bayangkan jika mereka memerintah, tidak mustahil, mungkin lebih banyak penganjuran pesta arak secara besar-besaran dibenarkan di negara ini andai kata mereka berkuasa.

Comments