AZMIN ALI PERLU BUKTI KETELUSAN


Sehingga hari ini, ramai tertanya-tanya kenapakah kerajaan PKR Selangor yang diterajui oleh Mohamed Azmin Ali susah sangat mahu menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM)?

Ketika negeri-negeri lain termasuklah sekutu mereka, kerajaan DAP Pulau Pinang dan kerajaan PAS Kelantan sudah pun berbuat demikian, kerajaan PKR Selangor masih memberi seribu satu alasan untuk tidak berbuat demikian.

Setakat ini Mohamed Azmin yang begitu ghairah membangkitkan soal ketelusan dan integriti kerajaan pusat khususnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad 1MDB belum memberi apa-apa ulasan berhubung keengganan tersebut.

Sebaliknya, yang mewakili kerajaan PKR Selangor untuk menolak IBR ialah Datuk Iskandar Abdul Samad. Kalaulah benar kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Mohamed Azmin benar-benar memperjuangkan ketelusan dan mempunyai integriti tinggi seperti mana yang diuar-uarkan kepada rakyat, tandatangan sahajalah IBR tanpa perlu banyak berdolak-dalik.

Memberi alasan kononnya kerajaan negeri itu mempunyai kaedah lebih baik daripada IBR SPRM hanyalah helah semata-mata dan menimbulkan persoalan serta persepsi terhadap pendirian sebenar mereka dalam soal integriti.

Perlu difahami, sebelum ini sudah banyak isu berkaitan integriti pentadbiran kerajaan negeri telah dibangkitkan dan harus diingat ia bukan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tetapi dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR sendiri.

Contohnya Rafizi Ramli pernah membongkar skandal rasuah seks yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri, tetapi ia sudah dinafikan oleh Mohamed Azmin yang menganggap ia sebahagian daripada kempen memburuk-burukkannya secara sistematik. Namun begitu terdapat beberapa lagi isu yang boleh mewujudkan persoalan mengenai soal ketelusan dan integriti pentadbiran negeri.

Oleh itu kalaulah Mohamed Azmin dan seluruh kepemimpinan kerajaan PKR Selangor merasakan mereka bersih dan bebas daripada sebarang skandal termasuklah rasuah, kenapa susah sangat mahu be­kerjasama dengan SPRM dalam menandatangani IBR?

Penulis yakin apa yang dilakukan oleh SPRM tidak mempunyai apa-apa kaitan politik atau agenda tersebut. Jika negeri-negeri lain tanpa ragu-ragu menerima IBR, kenapakah Kerajaan PKR Selangor masih memberi seribu satu alasan?

Inilah masanya untuk Mohamed Azmin membuktikan mereka mempunyai integriti tinggi dan bersedia melakukan apa sahaja bagi mempertahankan integriti tersebut. Tetapi penulis berasa ragu-ragu apabila melihat reaksi yang diberikan oleh kerajaan PKR Selangor terhadap IBR.

Kami tidak berhasrat membuat sebarang tuduhan tetapi hanya mahu melihat kerajaan PKR Selangor tidak mengamalkan politik cakap tak serupa bikin. Tambahan pula IBR dilaksanakan oleh SPRM dengan niat ikhlas untuk memastikan sesebuah kerajaan negeri, kementerian atau jabatan melaksanakan urus tadbir yang telus dan penuh integriti serta tidak terlibat dalam amalan rasuah.

Justeru, tidak perlu kerajaan PKR Selangor teragak-agak untuk menandatangani jika benar mereka mahu memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Buktikanlah ketelusan itu dengan tindakan dan bukannya membuat kenyataan seolah-olah IBR akan memerangkap mereka.

Mohamed Azmin perlu membuktikan beliau seorang Menteri Besar dan pemimpin yang berintegriti tinggi. Kalaulah dalam kes 1MDB beliau dilihat begitu teruja dan ghairah membuat kenyataan membidas Kerajaan Pusat serta melakukan tindakan supaya kes itu disiasat, kenapakah dalam soal menandatangani IBR beliau tidak mengarahkan ia segera ditandatangani?

Sebelum ini pun kerajaan DAP Pulau Pinang mempersoalkan IBR tetapi selepas mereka memahami tujuan ikrar itu, mereka bukan sahaja turut menandatangani malah menambah 10 inisiatif lagi. Berharap Mohamed Azmin akan menunjukkan kewibawaannya dengan mengarahkan supaya semua kepemimpinan kerajaan negeri Selangor menandatangani IBR.

Jika kerajaan negeri Selangor dan Mohamed Azmin terus berdolak-dalik dalam soal itu, beliau tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak yang mempersoalkan integriti mereka dan bertanyakan kenapakah mereka takut sangat dengan IBR.

Mohamed Azmin tidak harus menonjolkan diri sebagai seorang pemimpin yang mempunyai integriti tinggi dan berbangga dengan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri Selangor tetapi apabila SPRM mahu IBR ditandatangani, ia ditolak mentah-mentah.

Kami percaya rakyat Selangor juga mahu kerajaan negerinya menandatangani IBR seperti mana dilakukan oleh negeri-negeri lain. Ia memandangkan pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan PAS yang bergabung dalam kerajaan tersebut sering menonjolkan kehebatan mereka memerangi rasuah dan salah guna kuasa sehingga sanggup melemparkan tuduhan tidak berasas kepada pemimpin-pemimpin BN.

Oleh itu, jika mereka bersih sangat dan tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan, tandata­ngani sahaja IBR. Namun segala-galanya terletak kepada Mohamed Azmin untuk menentukannya kerana beliau adalah Menteri Besar dan pemimpin utama Selangor. Apa yang pasti jangan sampai orang beranggapan ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang menghalang beliau berbuat demikian.

Comments