ADAKAH TUN MAHATHIR BARU SEDAR DARI LAMUNANNYA SELEPAS 22 TAHUN MENGABAIKAN SARAWAK? MENGAPA SEKARANG HENDAK BUAT TAWARAN BARU DENGAN SARAWAK!



Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri ke-5 seolah-olah baru bangkit dari mimpinya selepas 22 tahun memimpin Malaysia dan mengabaikan negeri Sarawak. Persoalan yang timbul kini, mengapa baru sekarang Pengerusi Pakatan Harapan itu sedar dan mahu berbicara tentang hak-hak Sarawak? Walhal beliau boleh melaksanakan tanggunjawabnya ketika beliau berkuasa dahulu.

Jika Tun Mahathir benar-benar ikhlas dan jujur tentang kebajikan penduduk Sarawak, sudah pasti banyak kawasan terutama di pedalaman kini mempunyai kemudahan seperti jalan raya yang elok serta kemudahan air dan elektrik yang serba lengkap. Tidak mustahil Sarawak akan menjadi lebih maju dan serba lengkap jika 22 tahun itu digunakan sepenuhnya oleh Tun Dr Mahathir membangunkan Sarawak.

Hakikatnya, semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir gagal memberi Sarawak pembangunan infrastruktur yang sepatutnya malah menyalurkan wang hasil dari minyak Sarawak ke arah kepentingan kroni-kroni beliau.

Begitu juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dahulunya Menteri Kewangan dan banyak juga meminggir kepentingan Sarawak. Peliknya, kini para pemimpin pembangkang daripada Sarawak pula menyanjung Tun Dr Mahathir dan Anwar sebagai bakal penyelamat nasib masa depan kita di Sarawak.

Suatu ketika dahulu mereka memang anti Tun Dr Mahathir. Mereka kini sudah lupa apa yang telah Tun Dr Mahathir lakukan pada masa dahulu. Mereka mula memuja dan mendukung kepimpinan Tun Dr Mahathir yang terlibat secara langsung dalam menghakis hak dan kepentingan orang Sarawak satu ketika dahulu. 22 tahun Sarawak telah diabaikannya, mahukah kita terus melihat negeri kesayangan ini dipinggirkan lagi oleh individu yang sama. Kita tidak mahu sejarah berulang.

Jangan keliru dengan dakyah serta pembohongan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang jelas kemaruk bermain politik dan sanggup menjatuhkan sebuah kerajaan dengan apa cara sekali pun tanpa memikir kesan terhadap keselamatan serta keamanan negara. Apakah rakyat Sarawak ingin nasib masa depan dan perjuangan Sarawak ditentukan oleh pemimpin-pemimpin seperti ini?

Lihat saja suasana politik di Semenanjung Malaysia sekarang khususnya dalam kalangan parti-parti Pakatan Harapan. Apakah anak-anak jati negeri Sarawak tidak melihat dan menyedari betapa huru-hara dan kelirunya suasana politik Pakatan Harapan di sana sekarang? Fitnah politik yang jijik, buruk-sangka yang melampau, bersifat perkauman dan penghinaan agama sedang rancak berlaku dan bermula di sana.

Pendek kata, rakyat Sarawak kena bijak berfikir dan jangan sampai sejarah lama berulang. Rakyat Sarawak semestinya tidak mahu para pemimpin seperti Lim Kit Siang, Anwar, Tun Dr Mahathir dan Mat Sabu untuk mengetuai negeri Sarawak. Lagipun pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan ini tidak menunjukkan keikhlasan dan kejujuran serta keprihatinan mereka untuk mengubah nasib rakyat Sarawak.

Comments