PKR KELANTAN BERPECAH KERANA ISU HUBUNGAN DENGAN PAS



Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan dikatakan berpecah kepada dua kumpulan apabila pemimpin tertingginya dilihat lebih cenderung mahu kembali bekerjasama dengan PAS, menyebabkan parti itu berdepan dengan krisis.

Tindakan pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir yang dikatakan mahu rapat dengan PAS, dipercayai mendapat tentangan daripada beberapa pemimpin parti itu yang lain.

Gambaran kewujudan dua kumpulan lebih kuat apabila Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan membuat memorandum bagi mendesak ketuanya, Mohd Hafidz Rizal Amran melepaskan jawatan.

Desakan terbabit dibuat apabila Ketua AMK Kelantan itu dilihat menjadi antara pimpinan negeri yang menyokong kuat hasrat Ab Aziz.

Hafidz lebih cenderung mahu mengekalkan lantikan politik negeri sebagai jawatan Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah, sedangkan majoriti jawatankuasa AMK enggan meneruskan kerjasama dengan PAS di Kelantan.

Desakan agar Ketua AMK Kelantan untuk melepaskan jawatannya dibuat kerana Hafidz telah hilang sokongan majoriti AMK Kelantan yang mewakili Ketua AMK Cabang di Kelantan.

AMK Kelantan juga mendesak Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad supaya melantik seorang Ketua AMK Kelantan yang baharu.

Krisis terbaru yang melanda PKR ini adalah ekoran tindakan segelintir pemimpinnya yang cuba mendekati PAS mendapat tentangan dari kebanyakan pemimpin PKR mahupun di peringkat akar umbi.

Sebelum ini, William Leong, Ahli Parlimen Selayang meletak jawatan sebagai Biro Politik PKR gara-gara tidak bersetuju dengan tindakan PKR untuk mendekati PAS.

Tindak balas yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PKR jelas menunjukkan mereka sudah tidak mahu menerima PAS sebagai sebahagian daripada parti pembangkang lagi.

Comments