PAS SEDIA GEMPUR PKR DI SELANGOR



PAS Selangor bersedia untuk bertanding di 42 kerusi pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), termasuk meletakkan calon di kerusi Presiden PKR dan Timbalan Presiden PKR.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi menjelaskan bahawa sebelum adanya PKR, PAS sememangnya berminat pada banyak kerusi di Selangor.

PAS juga sudah bersedia di kawasan diwakili Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Ini bermakna DUN Kajang dan DUN Bukit Antarabangsa yang merupakan kerusi yang dimenangi PKR akan menjadi sasaran PAS selepas ini.

Selain kawasan DUN Bukit Antarabangsa, parti Islam itu juga turut bersedia mengambil semula kerusi Parlimen Gombak yang ditandingi Menteri Besar Selangor itu sejak 2008.

Keputusan untuk bertanding di 42 kerusi dipersetujui PAS Pusat, manakala untuk kerusi Parlimen, ia akan diputuskan Pas Pusat.

PAS telah memutuskan hubungan politik dengan PKR Mei yang lalu dan kini tekad untuk merampas kerusi-kerusi yang dimiliki Pakatan Harapan. Kini sudah pasti PAS kini menjadi ancaman politik kepada PKR di Selangor.

Comments