KISAH DI SEBALIK SELIPAR



Baru-baru ini forum The Nothing To Hide 2.0 bertukar menjadi kecoh apabila Mahathir dibaling dengan selipar apabila memberikan jawapan yang tidak memuaskan berkenaan peristiwa Memali.

Seperti biasa, UMNO dipersalahkan di atas perkara ini, seperti juga UMNO dipersalahkan bagi pelbagai perkara lain dari ahli PPBM keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan amalan nepotisme di dalam parti, banjir kilat di Pulau Pinang kerana kegagalan Lim Guan Eng mentadbir dan kegagalan kerajaan Negeri Selangor di bawah Azmin menyelesaikan isu SYABAS.

Apa pun, menyalahkan UMNO adalah satu kebiasaan, jadi tidak perlu dibincangkan.
Persoalan sebenarnya adalah mengapa soalan berkenaan dilemparkan, seterusnya membawa kepada selipar pula yang dilemparkan.

Forum Nothing To Hide 2.0 bermula dengan Mahathir mengkritik Najib dan berterusan sehinggalah sesi soal jawab di mana ada yang bertanya berkenaan peristiwa Memali. Mahathir ditanya bagaimana penduduk kampung yang hanya berparang dianggap sebagai penjenayah ( sehingga membawa kepada mereka ditembak oleh Pasukan Keselamatan).

Mahathir menjawab bahawa mereka membunuh anggota polis. Apabila mereka membunuh, maka balasan kepada mereka adalah sama (iaitu mereka dibunuh juga). Beliau seterusnya menyatakan bahawa perkara tersebut adalah SOP (Standard Operating Procedure) iaitu prosedur pelaksanaan biasa.

Tidak puas hati dengan jawapan tersebut, penanya membaling selipar kepada beliau.

Mungkin penanya tersebut tidak perlu membaling selipar kepada Mahathir, bukan kerana Mahathir tidak patut dibaling selipar kerana memberi jawapan yang agak biadap, tetapi kerana penanya berada terlalu jauh sehingga menyebabkan selipar tersebut tidak sampai kepada beliau.

Tetapi cuba fikirkan pernyataan Mahathir itu sendiri. Beliau mendakwa bahawa SOP bagi polis ialah membunuh terus penjenayah yang membunuh. Tetapi di dalam kes Memali ini seramai tiga orang polis yang mati. Menggunakan SOP Mahathir, sebanyak tiga orang penjenayah dari kalangan orang kampung yang perlu dibunuh. Tetapi mengapa 14 orang yang mati?

Bagaimana pula jika konspirasi yang mengatakan tiga polis itu mati kerana terkena peluru sesat polis itu sendiri? Adakah ianya bermakna polis yang tertembak itu perlu dibunuh? Jika benar, apa pula kisah dengan 14 orang penduduk kampung terkorban?

Sebenarnya walaupun bertanggungjawab ke atas peristiwa keseluruhan, adalah sedikit tidak adil bagi mengatakan Mahathir yang bertanggungjawab terus atas pembunuhan 14 penduduk kampung tersebut. Mungkin beliau mengarahkan agar Ibrahim Libya dibunuh, tetapi sudah tentu bukan beliau yang menentukan pembunuhan 13 orang yang lain. Keadaan ketika itu, tidak kira sumber mana yang digunakan, menunjukkan bahawa keadaan adalah sangat huru-hara dan agak sukar untuk menentukan semuanya berjalan lancar.

Tetapi Mahathir BERTANGGUNGJAWAB KERANA MEMBERIKAN JAWAPAN YANG BIADAP atas soalan ini walaupun beliau boleh menjangkakan soalan ini akan ditanyakan. Jawapan beliau jelas menunjukkan beliau memandang rendah terhadap nyawa rakyat Malaysia.

Mungkin sudah sampai masa kita menerima hakikat Mahathir memang memandang hina kepada rakyat Malaysia, daripada memanggil penduduk kampung yang membawa parang sebagai penjenayah dan patut ditembak mati tanpa perbicaraan sehinggalah memanggil penerima bantuan daripada kerajaan sebagai pemakan dedak.

Comments