KERAJAAN DAP PULAU PINANG SEDAR KEWUJUDAN KILANG HARAM TAPI BUAT SENYAP



Isu berhubung kilang haram Sungai Lembu Bukit Mertajam pernah dibangkitkan anggota Dewan Undangan Negeri Penanti daripada PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.

Gerakan Pulau Pinang pula mendedahkan surat bantahan bertarikh 25 Sept tahun lepas berhubung kilang yang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas itu telah dihantar kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam hal ini.

Surat yang dihantar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu diterima oleh wakil kerajaan negeri pada 4 Okt tahun lepas namun sehingga kini kilang itu masih dibenarkan beroperasi secara haram. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri gagal menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya penduduk di Kampung Sungai Lembu.

Surat itu telah mendapat tanda tangan 179 wakil penduduk di kawasan berkenaan bagi mendesak kerajaan negeri supaya mengambil tindakan terhadap kilang yang mencemarkan kawasan perkampungan mereka. Kegagalan kerajaan pimpinan DAP menangani isu kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas itu telah membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai panduan urus tadbir yang cekap.

Minggu lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu itu, yang dipercayai mencemari alam sekitar di Kampung Sungai Lembu. SPRM turut mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes itu. Susulan itu, SPRM menahan anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua beranak yang merupakan pengarah dan pengurus kilang itu bagi membantu siasatan.

Comments