PERSAMAAN MAHATHIR DENGAN EWOK?




Pembangkang Pakatan Harapan suka untuk menyamakan Najib dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dengan personaliti-personaliti  buruk. Sebagai contoh, Najib pernah disamakan dengan diktator Idi Amin, pengedar dadah Pablo Escobar atau pencuri.   

Oleh itu, untuk berlaku adil, perbandingan patut dibuat melibatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan. Sebagai permulaan, Mahathir, Ketua Pakatan dipilih bagi tujuan tersebut. Membandingkan Mahathir dengan  Benito Mussolini atau Benjamin Netanyahu adalah sesuatu perkara yang terlalu mudah, membosankan dan tidak mendatangkan cabaran langsung. 

Sebaliknya,  artikel ini memilih untuk meneliti persamaan Mahathir dengan Ewok, watak Star Wars. 

Sebagai ulangkaji:

Mahathir adalah Perdana Menteri (PM) Malaysia keempat yang mentadbir selama 22 tahun. Kerana cadangan beliau agar Perdana Menteri dinasihati oleh beliau di samping memajukan kerjaya Mukhriz secara ekspress tidak diterima oleh Abdullah Badawi, PM kelima dan Najib Razak, PM keenam, Mahathir kini telah mengambil alih Pakatan Harapan di dalam cubaan untuk menjadi PM ketujuh. 

Ewok di dalam filem Star War adalah satu spesis berkaki dua yang menyerupai ‘teddy bear’ yang menghuni hutan bulan planet Endor. Ewok hidup dengan memburu dan mengutip hasil hutan serta membina pondok-pondok ringkas di atas pokok.

Persamaan Mahathir dan Ewok adalah seperti berikut:
1. Kedua-dua Mahathir dan Ewok adalah fenomena awal 80an. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981 manakala Ewok muncul di dalam filem Star Wars : The Return of The Jedi pada 1983. 


2. Kemunculan Mahathir dan Ewok pada 80an tersebut dibayangi kontroversi dan tidak sedikit kritikan yang dikenakan ke atas mereka tetapi kedua-dua Mahathir dan Ewok mempunyai penyokong-penyokong yang setia. 

3. Mahathir dan Ewok kedua-duanya mempunyai muka yang lembut dan mudah untuk dilihat. Namun, muka mereka menyembunyikan hakikat bahawa mereka adalah ‘pemburu’ yang membahaya. Mahathir telah menangkap ratusan penentang pemerintahan beliau di samping mensabotaj pemimpin-pemimpin dalaman UMNO. Ewok pula telah membunuh apa sahaja makhluk yang bukan sama spesis mereka dan dipercayai makan manusia. 

4. Mahathir, menerusi pemerintahan beliau membuktikan beliau sangat mementingkan kuasa dan mengamalkan ‘might is right’ di mana kuasa menentukan segalanya. Ewok yang merupakan kaum yang mengamalkan cara hidup yang kolot turut menjadikan kuasa sebagai penentu segalanya.

5. Maklumat berkaitan keturunan Mahathir dan keturunan Ewok adalah sama-sama kabur. Di dalam kes Mahathir, walaupun umum mengetahui bahawa beliau bukan berketurunan Melayu, Mahathir tidak mau mengaku hakikat tersebut. Dalam kes Ewok, hanya George Lucas dan Lucasfilm mengetahui maklumat mengenai keturunan Ewok.

6. Ewok menyukai benda-benda yang bersinar dan bergemelapan menyebabkan kaum Ewok telah mengangkat robot C3PO menjadi dewa kerana robot tersebut berbadan kuning keemasan. Mahathir turut menyukai benda-benda yang bersinar dan bergemelapan. Oleh itu Mahathir dan kroni-kroni beliau telah menyembunyikan wang dan emas berjumlah RM 100 billion di luar negara. 

7. Mahathir telah merosakkan ekonomi Malaysia menerusi perjudian-perjudian ekonomi dan projek-projek mega beliau. Ewok telah dikatakan telah merosakkan filem Star Wars The Return of Jedi. Di dalam kes Ewok, kerosakan tersebut bukanlah salahnya sendiri.

8. Ewok menjadi contoh bagaimana sesuatu makhluk ketinggalan zaman boleh merosakkan dan menjejaskan satu pihak lawan yang berfikiran moden. Mahathir yang juga mengikut contoh tersebut dengan cuba merosakkan dan menjejaskan masyarakat Malaysia yang berfikiran moden. Perbezaan di dalam hal ini adalah Ewok memegang watak baik manakala Mahathir memegang watak sebaliknya. 

9. Tindakan Mahathir belot dengan UMNO dan berbaik-baik dengan DAP yang pernah dimusuhi oleh beliau diibaratkan seperti memakan daging saudara sendiri. Sementara itu Ewok telah menangkap watak-watak utama (yang merupakan manusia) untuk dimakan. 

10. Kini, Mahathir tidak diperlukan oleh rakyat Malaysia dan Ewok tidak diperlukan oleh Star Wars. Kedua-duanya adalah contoh baik bagaimana sesuatu watak tidak lagi relevan bagi zaman sekarang. 


Begitulah 10 persamaan antara Mahathir dan Ewok. Artikel seterusnya mungkin akan membandingkan persamaan Rafizi dengan SpongeBob Squarepants, Nurul Izzah dengan Cekodok Basi ataupun Lim Kit Siang dengan Ryugyong Hotel di Korea Utara.

Comments