PENGGUNA LEBUHRAYA PERSEKUTUAN SENYUM LEBAR UNTUK KE TEMPAT KERJA & KE SEKOLAH KERANA LEBUHRAYA SUDAH BEBAS TOL
Pengguna Lebuhraya Persekutuan kini boleh tersenyum lebar dan gembira pada hari ini 2 Jan 2018 dengan memulakan perjalanan untuk bekerja dan untuk hari persekolahan bagi tahun 2018 kerana pengguna lebuhraya itu tidak perlu lagi membayar kadar tol yang dikenakan di Tol Sg Rasau dan Tol Batu Tiga di Lembah Klang.
Ini kerana kedua tol berkenaan tidak lagi dikenakan kadar bayaran tepat jam 12 tengah malam 1 Jan 2018. Sebelum ini, pengguna daripada Klang yang melalui Lebuhraya Persekutuan perlu membayar tol sebanyak RM4.20 untuk perjalanan ulang alik di kedua-dua tol yang sememangnya memberi nafas lega buat pengguna yang sering menggunakan lebuhraya tersebut. Difahamkan sebanyak 95,000 hingga 100,000 buah kenderaan melalui tol-tol ini dalam tempoh sehari.
Selain di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di Selangor, kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah, dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor juga dimansuhkan. Lebih manis lagi, pengguna lebuhraya di plaza tol Sungai Rasau, Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam sebenarnya akan menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian konsensi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Pemansuhan kutipan tol ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018, sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Komitmen Kerajaan untuk memastikan beban rakyat dapat dikurangkan diterjemahkan melalui pemansuhan tol-tol ini.
Comments
Post a Comment