RAKYAT MALAYSIA PERLU DIDIK BERBELANJA MENGIKUT KEPERLUAN BUKAN BERBELANJA MENGIKUT NAFSU



Peningkatan kos sara hidup berlaku kerana peningkatan pendapatan individu untuk suatu jangka masa tidak dapat menampung peningkatan harga barangan atau perkhidmatan yang sama untuk jangka masa terbabit.

Namun perlu diingat kebiasaannya setiap orang akan mengubah barangan dan perkhidmatan yang digunakan untuk suatu jangka masa yang panjang. Perubahan ini sama ada membabitkan pertukaran kepada barangan gantian yang lain atau barangan yang sama tetapi mempunyai kualiti yang lebih tinggi.

Perubahan cita rasa individu ini dipengaruhi oleh dua faktor. Pertama, faktor individu itu sendiri. Setiap orang mempunyai kecenderungan untuk mengubah cita rasa mereka apabila pendapatan mereka berubah atau yang dipanggil kesan pendapatan.

Apabila pendapatan individu meningkat, mungkin mereka akan menggunakan barangan dan perkhidmatan yang berbeza, atau sekurang-kurangnya mereka akan bertukar kepada barangan serupa yang lebih berkualiti. Keadaan ini adalah kesan gantian disebabkan oleh perubahan taraf hidup individu.

Sejauh mana kesan gantian ini berlaku bergantung kepada sejauh manakah seseorang individu itu melonjakkan dirinya ke dalam kumpulan pendapatan yang lebih tinggi.

Bagi perubahan pendapatan yang lebih ketara, tidak mustahil seseorang individu itu akan mula menggunakan barangan dan perkhidmatan yang tidak pernah digunakan sebelum itu. Mereka mungkin terus menggantikan barangan bawahan kepada barangan normal atau barangan mewah. 
Umpamanya, mereka mengunjungi restoran di hotel mewah yang tidak pernah dikunjungi sebelum itu.

Faktor kedua mempengaruhi perubahan cita rasa individu adalah tahap pembangunan ekonomi negara. Cita rasa rakyat untuk sebuah negara maju tidak sama dengan cita rasa rakyat di negara tidak membangun atau sedang membangun.

Umpamanya, barangan import di pasaran Malaysia pada dekad 1970-an tidak sebanyak sekarang sama ada dari segi kuantiti mahu pun pilihan. Pada masa itu restoran makanan segera francais dari luar negara dianggap sebagai mewah yang dikunjungi oleh orang yang berpendapatan tinggi, kini adalah sesuatu yang biasa dikunjungi oleh semua golongan.

Dalam pada itu, keterbukaan pasaran negara juga memberi kesan kepada harga barangan. Pergerakan barangan merentasi sempadan tanpa sekatan menyamakan harga barangan di seluruh dunia, kerana berlakunya proses arbitraj. Perbezaan harga cuma disebabkan oleh kos transaksi.

Amalan dasar perdagangan bebas telah meletak Malaysia di tahap pembangunan ekonomi seperti sekarang, namun kita juga menghadapi peningkatan harga secara umum untuk barangan dan perkhidmatan.

Kerajaan dan agensi yang terbabit perlu mendidik rakyat untuk berbelanja mengikut keperluan mereka sahaja. Ini bagi mengelakkan harga sesuatu barangan meningkat disebabkan permintaan yang lebih tinggi dari penawaran dan permintaan.

Trend gaya hidup mewah dan boros yang dipamerkan rakyat Malaysia pada ketika ini pada satu sudut bagus untuk merancakkan ekonomi negara. Tapi disebaliknya ianya akan menyebabkan kos sara hidup seseorang itu meningkat bagi menampung keperluan diri dan keluarga yang sering berbelanja besar.

Namun pada hakikat sebenar, kos sara hidup di negara ini masih ditahap yang rendah berbanding peningkatan pendapatan di Malaysia. Marilah kita bersama-sama ukur kain di badan sendiri.

Comments