ISU PERDANA MENTERI PAKATAN HARAPAN TERUS JADI REBUTAN PEMIMPIN PEMBANGKANG, DR MAHATHIR ANGKAT BAKUL SENDIRI UNTUK JADI CALON PERDANA MENTERI
Difahamkan Pakatan Harapan (PH) belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung calon perdana menteri sekiranya mereka menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun mereka sudah ada calon untuk jawatan utama dalam negara ini.
Namun begitu, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tanda isyarat jelas dengan mengatakan bahawa jika rakyat hari ini berada dalam keadaan terdesak dan tidak ada calon lain beliau boleh menjadi calon perdana menteri.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir itu seolah-olah 'angkat bakul sendiri' dan menampakkan bahawa beliau masih lagi dahagakan jawatan perdana menteri. Jika benar Dr Mahathir akan menjadi calon perdana menteri semula, segala perjuangan pembangkang hanya sia-sia kerana PH akan dijajah semula dengan pemikiran Dr Mahathir.
Siapa tidak kenal dengan corak pentadbiran Dr Mahathir yang suka mengongkong pemimpin yang lemah dan mahu setiap pemimpin di bawahnya untuk menurut kehendaknya. Jika kuasa ini diberi kepada Dr Mahathir maka sejarah silam bakal berulang kerana semua tahu corak pemerintahan keras Dr Mahathir. Mahukah pembangkang sendiri melalui detik ini semula?
Sebelum ini media juga melaporkan PH telah sepakat melantik Mahathir sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai timbalannya sekiranya menang PRU14. Beberapa pemimpin pakatan itu juga telah mengesahkan cadangan tersebut dan hanya menunggu restu daripada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun itu, ada di kalangan pemimpin-pemimpin PH yang menentang dan tidak mahu Dr Mahathir menjawat semula jawatan perdana menteri itu. Mereka antaranya ialah Azmin Ali, Tian Chua dan kumpulan Reformasi 98. Sudah pasti pencalonan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri akan mencetuskan kemelut dalaman dan ketidakpuasan hati di kalangan penyokong tegar PKR!
Comments
Post a Comment