ERA DUA PEMIMPIN, DR MAHATHIR DAN LIM KIT SIANG SUDAH BERAKHIR! BIAR GENERASI BARU BERKALIBER PULA UNTUK MEMIMPIN


Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang sudah tidak lagi relevan untuk memimpin Malaysia bagi menghadapi cabaran masa depan. Peluang harus diberi kepada generasi muda pula untuk memimpin dan bukannya dipimpin oleh pemimpin lapuk!

Dalam Pakatan Pembangkang sudah macam tidak ada pemimpin pelapis yang boleh dijadikan pemimpin harapan untuk memimpin negara. Oleh itu, rakyat harus membuka mata dan menolak pemimpin lapuk yang hanya mampu membawa idea lampau.

Era kegemilangan Mahathir, 92, dan Kit Siang, 76, sudah lama berlalu dan mereka seharusnya menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada individu lebih muda dan sesuai dengan perubahan zaman.

Ia terbukti dengan melihat pada visi pembangkang yang tidak langsung memiliki agenda untuk orang muda, berbanding parti lawan mereka seperti BN yang melakukan pelbagai inisiatif, khususnya Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi mendepani cabaran masa depan.

Dalam pada itu, berbeza dengan agenda Pakatan Harapan yang ternyata tidak jelas dan tiada hala tuju, yang hanya ada pada pakatan ini ialah mereka sibuk berpolitik dan membangkitkan rasa benci serta semangat perkauman dan tidak memiliki sebarang agenda untuk golongan muda.

Tidak dinafikan bahawa kita hargai apa yang Dr Mahathir lakukan lebih 20 tahun, tetapi beliau tidak perlu lagi menjadi Perdana Menteri. Lim Kit Siang pula memang sudah tidak relevan dan sekadar boleh bermimpi untuk jadi Perdana Menteri. Malaysia akan ketinggalan zaman jika masih menagih khidmat pemimpin lapuk untuk mentadbir negara.

Apa yang rakyat perlukan adalah pemimpin untuk masa depan, bukannya pemimpin kitar semula. Ini secara tidak langsung menampakkan kelemahan pembangkang yang ternyata ketandusan pemimpin dan sangat terdesak apabila memilih semula Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sedangkan selama ini mereka mahu menjatuhkannya. 



Comments