TINDAKAN TEPAT KERAJAAN UNTUK MEMBEKUKAN PROJEK PEMBANGUNAN HARTANAH

TINDAKAN TEPAT KERAJAAN UNTUK MEMBEKUKAN PROJEK PEMBANGUNAN HARTANAH

Oleh, Vijikumar


Mutakhir ini, kerajaan dikritik oleh sebilangan pemimpin politik yang berpendapat tindakan membekukan projek pembangunan hartanah yang bernilai RM1 juta dan ke atas sebagai satu tindakan yang terburu-buru dan tanpa mengkaji kesannya kepada industri, pasaran hartanah dan makro ekonomi negara.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 17 Nov 2017, penawaran hartanah terutamanya rumah-rumah baharu meningkat secara mendadak. Menurut bank pusat itu, lambakan hartanah telah menyebabkan jumlah unit-unit rumah yang tak terjual mencecah bilangan 130,690 - satu kuantiti yang kritikal di suku pertama tahun 2017. Malahan, sebanyak 83% daripadanya adalah rumah-rumah bernilai lebih daripada RM250,000.00.

Dua hari selepas pengumuman oleh Tan Sri Muhammad Ibrahim, Gabenor BNM, Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan–II pula mengumumkan tentang arahan pembekuan untuk menghentikan buat sementara waktu, projek pembinaan hartanah seperti rumah, kondominium dan bangunan komersil bernilai RM1 juta dan ke atas.

Namun, pada keesokan harinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, menjelaskan bahawa arahan oleh Menteri Kewangan II itu bukan satu pembekuan menyeluruh dan projek-projek pembangunan akan diluluskan setelah dinilai keperluannya dari semasa ke semasa.

Kenyataan Menteri Kerja Raya ini pula diikuti kenyataan oleh Johari yang menjelaskan arahan pembekuan hanya bagi projek-projek pembangunan yang belum diluluskan serta bergantung kepada penilaian oleh jabatan-jabatan yang relevan ke atas permintaan jenis hartanah yang hendak dibina.

Justeru, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan juga menyatakan pembekuan tersebut hanya bersifat sementara iaitu mungkin dari satu tahun hingga tiga tahun sahaja.

Tony Pua memihak kepada pemain industri pembangunan hartanah

Sementara itu, Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dengan lantangnya mempertikaikan arahan pembekuan yang diumumkan oleh Johari kononnya arahan tersebut dikeluarkan tanpa sebarang kajian yang sewajarnya terhadap lambakan hartanah di pasaran serta kesannya terhadap eknomi negara.
Yang pelik, reaksi beliau, sebagai pengkritik utama kerajaan, terutamanya dalam isu berkaitan 1MDB, syarikat pelaburan strategik negara, langsung tidak mencerminkan keprihatinannya terhadap rakyat dalam kategori M40 (Golongan berpendapatan Sederhana) dan B40 (Golongan berpendapatan rendah) yang menghadapi cabaran yang kritikal untuk membeli rumah sejak kebelakangan ini. Malangnya, Setiausaha Publisiti DAP itu lebih cenderung ke arah memperjuangkan hak pemain industri hartanah berbanding rakyat miskin.


Pembekuan secara mengejut dan kesannya


Meskipun mengejutkan, arahan pembekuan seperti diumumkan oleh Johari adalah satu tindakan tepat untuk menyelaraskan semula titik pertemuan antara permintaan dan penawaran kekedudukan yang lebih selamat dalam pasaran hartanah. Titik pertemuan baharu bukan sahaja akan menurunkan harga rumah tetapi juga membolehkan golongan M40 dan B40 untuk memiliki rumah dengan harga yang berpatutan, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana bank serta institusi kewangan sering mengenakan syarat untuk pinjaman perumahan yang semakin ketat baru-baru ini.


Kajian ke atas lambakan hartanah tidak perlu


Memandangkan arahan pembekuan bagi projek-projek pembangunan hartanah merupakan satu pendekatan yang tepat serta berdasarkan laporan kajian BNM bagi suku pertama tahun 2017, tidak perlu lagi sebarang kajian sebagaimana dicadangkan oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu. Cukuplah sekadar menjadikan dapatan kajian BNM sebagai asas untuk mengambil tindakan segera bagi mengawal fenomena lambakan rumah yang berpotensi untuk mencacatkan pertumbuhan ekonomi.

Tambahan pula, dengan ledakan teknologi maklumat dan internet, semakin banyak ruang pejabat atau kedai didapati kosong disebabkan oleh kadar sewa yang tinggi serta trend dalam kalangan pengguna yang lebih gemar berurus niaga atas talian berbanding megunjungi kedai-kedai atau pejabat.

Pengertian di sebalik reaksi Tony Pua

Begitupun, reaksi Tony Pua terhadap tindakan kerajaan yang menyekat sementara projek-projek pembangunan itu boleh difahami. Apatah lagi apabila industri pembangunan hartanah menyumbang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sebanyak 10% dan membabitkan 1.4 juta rakyat Malaysia yang berkerja dalam sektor pembinaan.Tidak dinafikan juga ia memperlihatkan bayangan pengaruh pemain industri hartanah terhadap karier politik beliau serta survival partinya.

Langkah kerajaan masih tidak mencukupi

Meskipun tindakan pembekuan kerajaan adalah tepat dan tangkas, ia masih lagi jauh daripada menyelesaikan lambakan hartanah terutamanya rumah-rumah dengan harga melebihi RM250,000.00. Malah, ada juga pemain industri hartanah yang berpengalaman berpendapat bahawa sekatan sementara terhadap pembangunan hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas akan menyebabkan lebihan tawaran hartanah bernilai di antara RM300,000.00dan RM800,000.00.

Oleh itu, bagaimana jika kerajaan dan pemain industri hartanah bergabung dan mengatur strategi untuk membina lebih banyak lagi rumah mampu milik di dalam lingkungan harga RM250,000.00-RM300,000.00, khususnya di kawasan bandar-bandar dan semi urban di seluruh negara,memandangkan harga barang-barang pembinaan bangunan dijangka akan merudum disebabkan oleh lambakan rumah-rumah di pasaran hartanah serta sekatan sementara kerajaan itu?



Comments