Ada ura-ura mengatakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bakal menjadi Perdana Menteri Interim untuk Pakatan Harapan sebaik sahaja parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak nanti.
Sebaik sahaja parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri nanti, pucuk pimpinan Pakatan Harapan akan mengumumkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim serta merta dan bertindak sebagai Ketua yang mengetuai barisan kabinet bayangan Pakatan Harapan.
Difahamkan Dr Mahathir Mohamad masih berminat untuk memegang jawatan nombor satu negara dan berkhidmat kembali sebagai perdana menteri sekali lagi tetapi kali ini sebagai Perdana Menteri interim untuk Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, apa motif Tun Dr Mahathir dijadikan Perdana Menteri interim sedangkan ramai lagi pemimpin-pemimpin yang layak untuk menjadi Perdana Menteri atau pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan semuanya tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri!
Pencalonan nama Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim akan memberi kesan jangka pendek ke atas Pakatan Harapan. Semestinya pengumuman ini akan memberi maklum balas negatif rakyat khususnya kumpulan-kumpulan Reformasi 98 seperti Otai Reformasi dan ramai lagi kerana mungkin ada yang tidak menyukai caranya.
Secara tidak langsung pengumuman calon perdana menteri interim ini boleh mengakibatkan perbalahan dalaman di kalangan parti komponen dalam Pakatan Harapan.
Sebahagian besar PKR percaya isteri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, perlu memegang jawatan perdana menteri sehingga Anwar diampunkan dan dibebaskan daripada penjara. Bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yasin dikata seorang daripada calon perdana menteri, begitu juga Menteri Besar Selangor Azmin Ali.
Nampak gaya Tun Dr Mahathir, mahu potong 'Q' dan mencantas pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan kerana dia sememangnya gilakan jawatan Perdana Menteri. Oleh itu tidak mustahil kita lihat ada sebahagian pemimpin Pakatan Harapan akan mengipas Tun Dr Mahathir agar melobi menjadi Perdana Menteri interim Pakatan Harapan. Malah tidak mustahil, parti PKR yang dominan suatu ketika dulu di bawah Anwar Ibrahim hanya akan ternganga melihat kejutan politik itu nanti yang akan dipelopori Tun Dr Mahathir.
Comments
Post a Comment