PPBM DIJANGKA TIDAK AKAN KEKAL LAMA, SRIKANDI PPBM PULA SUDAH HAMPIR LUMPUH



Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru berusia setahun terus dibadai ombak besar tidak mampu "belayar" lebih jauh susulan pergolakan dalaman yang melanda parti itu ketika ini.

Ini terbukti apabila beberapa pengasas serta pemimpin kanan PPBM bertindak keluar parti kerana perjuangannya yang dilihat sudah jauh tersasar daripada tujuan asal penubuhannya.

Dengan sikap pemimpin utamanya yang tidak ikhlas dan lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan pilih kasih tidak membolehkan parti itu memperjuangkan nasib rakyat.

Tindakan Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman dan Pengasas PPBM, Anina Saadudin keluar parti memang sudah diduga kerana parti itu tidak pernah pun berjuang untuk kepentingan ahli dan rakyat, malah lebih kepada peribadi serta kroni.

Dengan situasi terkini yang melanda PPBM, ramai yakin PPBM tidak akan kekal lama dan rakyat juga bakal menyaksikan satu demi satu pemimpin mereka meninggalkan parti. Tidak mustahil lebih ramai mengikut jejak Hamidah dan Anina untuk keluar parti.

Anina mengumumkan keluar parti selepas mendakwa PPBM tidak lagi menepati prinsip perjuangan ketika diasaskan tahun lalu, sebaliknya berasa diperalatkan untuk kepentingan politik individu tertentu dan berlandaskan dasar kronisme. Menyusul selepas itu, Hamidah pula mengambil tindakan sama dan ia disahkan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Apa yang pasti 'Kapal' yang dibina dan diukir reka bentuknya belum sempat untuk belayar jauh, ia kini berada dalam tangan pemimpin yang bakal menghancurkan asas pembinaan kapal terbabit.

Malah kesedaran berpuluh pemimpin PPBM yang telah membuka mata ekoran mendapat tahu tembelang sebenar PPBM, kini sudah bertindak keluar daripada parti ini yang tidak mendatangkan sebarang harapan kepada mereka dan juga rakyat.

Ironinya PPBM sebenarnya ditubuhkan secara terburu-buru bagi memenuhi agenda peribadi sesetengah individu dalam PPBM. Perjalanan parti ini semestinya tidak akan kekal lama malah dijangkakan parti ini akan berdepan masalah dalaman parti yang lebih serius yang akan memendekkan hayat parti ini. Kita tunggu dan lihat kehancuran parti ini.

Comments