PARTI MELAYU PKR BERPERANG SESAMA SENDIRI, PARTI CINA BERTEPUK TANGAN



Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd. Taib berkata sekarang ini pemimpin-pemimpin dalam parti PKR ini sedang asyik berperang sesama sendiri dan cuba menjatuh-jatuhkan antara satu sama lain. Sedangkan parti bukan Melayu bersuka ria, bertepuk tangan melihat Parti Melayu seperti PKR bergaduh dan berperang sesama sendiri.

Kalau kita dapat melihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) selalu mendabik dada, berbangga diri kononnya mereka adalah pemimpin yang paling hebat mentadbir dan parti mereka paling bijak mengurus dan bersikap telus dalam segala perkara. PKR memegang prinsip songsang, dan parti itu sering kali menyerang Kerajaan Barisan Nasional melalui sokongan dan rakan sekutunya DAP dan PAS.

Malah PKR jugalah antatra parti yang yang bertanggungjawab untuk menggerakkan demonstrasi dan gerakan jalanan bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil berserta kononnya bagi menghapuskan segala kepincangan dan penyelewengan ketika pilihan raya sedang berlangsung. Dan sasaran PKR tak lain tak bukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

PKR bukan sahaja parti cakap tak serupa bikin, malah parti PKR penuh dengan kepincangan, sebut sahajalah apa sahaja, membaling kerusi, melontar kasut, menjerit dan memaki hamun dan bermacam-macam lagi perangai buruk semuanya terjadi dalam PKR. Jelas sekali PKR parti yang huru hara dan kelam kabut. 

PKR menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya tidak telus, dan mereka mempertikaikan bagaimana keputusan boleh berubah-ubah, bermacam-macam lagi tuduhan yang dilemparkan oleh PKR kononnya wujud pengundi hantu dan bekalan elektrik terputus di dewan pengiraan undian. Segala yang berlaku dalam PKR adalah tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan oleh parti itu terhadap Kerajaan Barisan Nasional tetapi kini ia ibarat menuding kain orang terkoyak, kain sendiri sudah terlondeh dan ternyata sekali PKR semakin mendapat pembalasan terhadap segala fitnah dan tohmahan yang kerap mereka lakukan ke atas pihak lain.

Selama ini Parti PKR hanya bijak menuduh dan memfitnah tetapi apabila kita minta bukti, mereka tidak mampu menunjukkan bukti sehinggakan ia menimbulkan keraguan dan rasa was-was dalam kalangan kita semua terhadap kemenangan Kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum sama ada kecil mahupun umum. Yang aneh dan peliknya apabila PKR hanya membuat bising dan kekecohan sebaik sahaja pembangkang tewas dan kalah dalam pilihan raya umum. Tetapi mereka senyap sunyi sepi apabila mereka menang.

PKR tidak pernah bermuhasabah atau mahu mengaku kelemahan yang dimiliki, sebaliknya apa juga yang berlaku kepada parti itu disalahkan kepada orang lain. Mereka sama sekali tidak mahu cermin diri sendiri. Mungkin ini juga didikan politik pemimpin-pemimpin kanan mereka yang sering menggangap apa sahaja yang berlaku kepada diri mereka adalah satu fitnah dan konspirasi UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. PKR tidak akan mampu berdolak dalik.

Selama ini pun PKR dilihat tidak mempunyai sebarang hala tuju sebaliknya hanya sekadar untuk memenuhi cita-cita politik pemimpin-pemimpin sahaja, dan kini pertelingkahan dalaman yang melibatkan ahli-ahlinya juga dilihat semakin kritikal. Apa yang berlaku kepada PKR seharusnya memberikan keinsafan dan kesedaran kepada kita semua untuk memahami begitulah keadaannya apabila sesebuah parti ditubuhkan semata-mata bagi memenuhi kepentingan dan agenda politik individu di kalangan pemimpin-pemimpin PKR sendiri dan hanya mahu mrebut kekuasaan semata-mata.

PKR ditubuhkan bukan mahu memperjuangkan hak, kebajikan dan nasib kita bagi mensejahterakan negara sebaliknya hanya mahu memenuhi nafsu politik pemimpin-pemimpinnya dan atas sebab itulah PKR juga dilihat mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara mereka tidak akan peduli apa pun asalkan matlamat dan kepentingan politik mereka tercapai. Inilah sebabnya ahli-ahlinya sanggup bertempur sesama sendiri dalam pemilihan parti.

Kesimpulannya sudah sampai masanya kita semua menolak PKR kerana apa yang berlaku membuktikan parti itu sama sekali tidak layak menerajui negara ini dan PKR hebat bukan kerana kekuatan parti dan kehebatan pemimpinnya sebaliknya mereka mampu mempengaruhi DAP untuk berkongsi kuasa dengan mereka. Apa yang akan berlaku kepada negara ini kalau PKR menjadi tonggak utama pemerintahan negara, kalau dalam parti sendiri sudah pun berkecamuk dan tidak tentu hala bagaimana mereka mahu membawa kesejahteraan dan keharmonian kepada seluruh rakyat dan negara ini.

Comments