Pandangan Optimistik Terhadap Perjumpaan PM dan Presiden AS Oleh, Dominic Chia



Baru-baru ini beberapa orang kenamaan terutamanya pemimpin politik mengkritik tawaran yang dibuat oleh Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri (PM) kepada Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat (AS) di AS, kononnya hanya mengayakan sebelah pihak iaitu, AS.

Antara tawaran PM yang hangat dipersoalkan ialah perjanjian untuk membeli 25 buah kapal terbang jenis Boeing 737 serta 8 buah kapal terbang jenis Dreamliner 787 dari negara “Uncle Sam “ itu.

Beliau juga dilaporkan turut berjanji dengan Presiden AS itu, untuk membeli 25 lagi kapal terbang Boeing 737 dalam masa terdekat. Rata-rata mempersoalkan kemampuan Syarikat Penerbangan Malaysia Bhd (MAB) untuk merealisasikan pembelian tersebut yang bernilai lebih AS$10 bilion.

Sungguh pun ada dalam kalangan pemimpin politik dan pakar eknomi memberi komen positif berhubung perjumpaan serta perjanjian Perdana Menteri kita dengan Donald Trump, kritikan jelik mengenai perkara tersebut kelihatan lebih hangat dalam khalayak, apatah lagi dengan sikap semulajadi mereka yang lebih cenderung untuk membuat spekulasi yang bukan-bukan mengenainya.

Keselamatan diutamakan

Mungkin ada dalam kalangan kita terlupa bahawa 3 tahun yang lalu, Sistem penerbangan Malaysia (MAS) yang kini dikenali sebagai MAB (Penerbangan Malaysia Berhad), pernah menyaksikan dua kecelakaan melibatkan pesawat MH370 dan MH17.

Tidak dinafikan insiden kedua yang melibatkan pesawat MH17 sememangnya disebabkan oleh tindakan pemberontak di Ukraine yang menembak pesawat tersebut ketika ia melalui ruang udaranya.

Namun, insiden pertama yang melibatkan kehilangan MH370, disyaki bukan sahaja disebabkan oleh kecuaian juruterbangnya, tetapi juga masalah teknikal.

Sehubungan itu, mengapa tidak kita melihat perjanjian pembelian kapal-kapal terbang baharu itu sebagai satu berita yang baik terutamanya bagi penumpang kapal terbang MAB?
Sekiranya pembelian kapal terbang sebanyak itu menjadi kenyataan, ia bermakna, tahap keselamatan kapal-kapal terbang MAB itu akan meningkat dan sekaligus menambah konfiden para penumpang terhadap kapal terbang MAB.

Pesawat baharu, ciri-ciri keselamatan baharu

Sebagaimana kita sedia maklum, kapal terbang baharu kebiasaannya memiliki bukan sahaja ciri-ciri keselamatan baharu, tetapi juga yang canggih. Ciri-ciri inilah yang menjadi perhatian serius buat penumpang MAB yang sebelum ini agak risau tentang keselamatan diri tatkala di udara, lebih-lebih lagi pasca kecelakaan kembar yang melanda syarikat penerbangan yang malang itu.

Keuntungan MAB mula meningkat

Sebelumini, MAB telah menyaksikan penstrukturan semula yang agresif di bawah pimpinan Robert Mueller, bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya. Namun, beliau meninggalkan MAB setelah tamat kontraknya, dan digantikan oleh Peter Bellew.

Langkah-langkah penstrukturan semula diteruskan oleh beliau seperti mana dahulu. Malah, menurut beliau baru-baru ini, MAB berjaya mencatatkan kenaikan keuntungan penumpang sebanyak 8% pada suku kedua tahun ini meskipun berdepan dengan saingan sengit darisyarikat penerbangan lain serta ketidakstabilan RM.

Hal ini dipercayai telah memberi ruang kepada syarikat penerbangan negara itu untuk membeli kapal terbang baharu bagi menguasai pasaran penumpang kapalterbang, sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semulanya.

Pandangan pakar ekonomi

Hoo Ke Ping, seorang pakar ekonomi bebas, mengaitkan perjanjian pembelian di antara Najib dan Trump itu dengan rekod keuntungan positif yang telah mula ditunjukkan oleh MAB pada tahun ini.

Justeru, Yeah Kim Leng, profesor ekonomi Sekolah Bisnes Universiti Sunway, meskipun senada dengan Hoo Ke ping, menjelaskan bahawa MAB tidak semestinya akur kepada perjanjian pembelian pesawat daripada AS, seperti mana dikatakan oleh Najib. Menurut beliau, kuantiti kapalterbang yang hendak dibeli, akan ditetapkan oleh MAB sendiri berdasarkan kemampuan kewangan semasanya.

Seperkara lagi, menurut Yeah, kemampuan MAB untuk membeli kapal terbang dalam kuantiti yang banyak sebenarnya bermakna bahawa langkah penstrukturan semula ke atasnya mula menampakkan hasil yang positif.

Aspek Geopolitikal

Justeru, menurut Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), lawatan Najib ke AS memperlihatkan bahawa Malaysia tidak memihak kepada mana-mana negara untuk membangunkan ekonominya.

Pendirian dari segi aspek geopolitik yang dipamerkan oleh Malaysia kepada masyarakat sedunia ini amatlah penting, apatah lagi dengan ketidak tentuan hubungan di antara AS dan China yang masing-masing bersaing untuk mengekalkan pengaruh mereka di Laut China Selatan.

Pendirian Malaysia ini turut membuktikan bahawa ia tidak menunduk kepada mana-mana kuasa dunia dan tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan negara, bertentangan dengan dakwaan oleh segelintir pemimpin politik.

Pengkritik harus bersikap adil

Kesimpulannya, di samping mengkritik, umum harus berusaha untuk mencari kebenaran di sebalik tindakan kerajaan atau pemimpin yang mewakilinya. Yang penting, penghargaan harus diberikan oleh mereka sekiranya tindakan atau langkah yang diambil itu dikenal pasti sememangnya membawa kebaikan kepada semua.

Comments