DAP MINTA TUBUH RCI MINI ISU BEG MIKE TYSON ADALAH SESUATU YANG LUCU



Gesaan dan tuntutan MP DAP Lim Lip Eng mengenai penubuhan RCI Mini terhadap salahlaku Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau lebih dikenali sebagai Mike Tyson adalah satu tindakan yang melucukan.

Gesaan itu ditulis di dalam blog DAP Malaysia bertarikh 20 Sept 2017 yang meminta kerajaan menyiasat sumber dana yang diperolehi Mike Tyson semasa tangkapan beliau di Brisbane Australia pada 1996 yang lalu.

Tindakan DAP ini dilihat sebagai tindakan yang terdesak dimana gesaan mereka ini timbul apabila Mike Tyson dengan secara sukarelanya membuat pusingan U untuk menyertai semula UMNO.

Sama juga dengan isu skandal Forex yang melibatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. Sebelum Mahathir menyertai kem pembangkang, Lim Kit Siang lah individu yang paling lantang mengkritik dan menggesa kerajaan Barisan Nasional menyiasat skandal tersebut dalam setiap kali ceramah dan kempen politiknya.

Malah, Lim Kit Siang dikatakan pernah menawarkan dirinya sendiri untuk membantu siasatan atas perkara itu.

Selepas 24 tahun menunggu, kini RCI skandal Forex telah ditubuhkan oleh kerajaan atas perkenan duli Tuanku Yang DiPertuan Agong. Namun begitu, Lim Kit Siang diam seribu bahasa tanpa membuat komen ataupun cuba menawarkan diri untuk menjadi saksi terhadap siasatan RCI tersebut.

Hakikatnya DAP hanya mahu melihat parti Melayu lemah dan berpecah belah kerana politik. Mereka akan cuba mengambil kesempatan yang ada untuk mendapatkan kuasa atas kecelaruan yang sedang melanda politik Melayu.

DAP juga tidak mahu perkara yang buruk mengenai DAP dan juga Pakatan Harapan dibongkar oleh Mike Tyson atau siapa sahaja yang berusaha melompat parti menyokong kerajaan kerana mereka khuatir strategi politik mereka didedahkan kepada umum.

Pada masa yang sama, gesaan untuk mengadakan RCI Mini itu adalah tindakan yang sia-sia dimana Mike Tyson sebenarnya telah diadili di Mahkamah Brisbane dan dijatuhi hukuman di sana.

BPR atau sekarang lebih dikenali sebagai SPRM juga telah menjalankan siasatan ke atas wang atau dana yang dikaitkan dengan kes berkenaan dan siasatan juga sudah selesai.

Nampaknya DAP sudah ketandusan idea menjelang pilihanraya umum akan datang kerana segala usaha mereka untuk memfitnah kerajaan dan Perdana Menteri akhirnya tidak menjadi dan memakan diri sendiri.

Comments