Baru-baru ini tiga anggota DAP menghantar memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendesak parti DAP mempamerkan senarai nama yang layak mengundi di dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Taman Ehsan, Klang, L. Pannerselvam; Timbalan Pengerusi Taman Murni, Sepang A. Thirumalvalavan dan bekas pengerusi DAP Bagan Luar, Pulau Pinang G. Asoghan menyerahkan tiga memorandum itu kepada wakil RoS di perkarangan Kompleks D di sini. Ketiga-tiga perwakilan DAP itu mahu senarai nama, kad pengenalan dan cawangan 2,576 perwakilan berdasarkan senarai nama pada 2012 perlu dipamerkan di dalam akhbar serta portal berita tempatan sebelum pemilihan itu.
Kalau DAP enggan mengadakan pemilihan semula CEC, partinya itu sepatutnya kena adakan cadangan apakah jalan penyelesaian tetapi sehingga sekarang tidak ada langsung penjelasan daripada mereka. Dan bagaimana mereka boleh membuat alasan telah mengadakan pemilihan semula CEC sedangkan terdapat banyak masalah yang tidak diperbetulkan termasuklah aduan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli sendiri bahawa terdapat pengundi hantu dalam pemilihan tersebut malah perwakilan yang layak dinafikan haknya.
Sekiranya pemilihan semula CEC diadakan, seharusnya ada sebuah badan bebas untuk memantau perjalanan pemilihan ini dari mula sehinggalah akhir iaitu bukan hanya dipantau ketika proses pengundian sahaja, bahkan segala senarai nama perwakilan yang layak disemak sepenuhnya. Ini kerana jika ada masalah yang timbul apabila disyaki adanya perwakilan yang tidak layak tetapi boleh mengundi. Pihak ROS juga sepatutnya meletakkan wakil mereka dan memantau rapi pemilihan semula CEC ini.
DAP cuba berlagak angkuh kerana tidak mahu mengikuti arahan ROS dan sama sekali tidak mempedulikan suara-suara ahli-ahli dalam parti sendiri. Adakah ini prinsip CAT yang dilaung-laungkan oleh DAP? Adakah Prinsip CAT yang dilaung-laungkan oleh DAP masih relevan? Prinsip CAT dalam DAP ini hakikatnya sudah lama mati. Inikan pula pemimpin-pemimpin mereka jenis cakap tidak serupa bikin. Segala polisi dan undang-undang negara tidak mahu ikut. Sama juga dengan suara ahli-ahli parti sendiri tidak lagi mahu didengari. Sekalipun ada ahli yang mempersoalkan tindakan parti mereka hanya akan disaman, ataupun dipecat daripada parti walaupun mereka mempunyai hak untuk bertanya dan itulah hakikat yang sedang berlaku dalam DAP.
Parti itu juga memecat ahlinya dengan hanya memberitahu pihak berkenaan melalui mulut sahaja tanpa sebarang surat, Sepatutnya kalau DAP mahu memecat ahlinya mereka perlu melalui proses seperti sesi pendengaran awam dan sebagainya sebaliknya semua proses itu tidak ada.
Kesimpulannya DAP tidak layak memerintah negara ini, kalau sekalipun mereka mahu memimpin negara, DAP perlu tunjukkan kepada kita bahawa mereka bersih, berintegriti dan jujur serta melaksanakan apa yang dilaungkan oleh mereka sendiri tetapi ini sebaliknya malah perangai DAP semakin teruk dan menjadi-jadi.
Comments
Post a Comment