AZMIN ALI TIADA SEBAB TOLAK IKRAR BEBAS RASUAH



Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlulah menghormati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas yang memerangi rasuah dan Azmin tiada sebarang alasan untuk enggan dan terus tidak menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Azmin Ali masih lagi berdolak dalik untuk melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah dan sekiranya Azmin benar-benar memperjuangkan ketelusan dan mempunyai integrity yang tinggi sebagaimana yang pernah diwar-warkan oleh beliau sendiri kepada kita semua selama ini, tandatangan sahajalah Ikrar Bebas Rasuah tanpa perlu banyak berdolak dalik.

Sebelum ini Azmin Ali dan Kerajaan Negeri kononnya mendakwa mereka mempunyai kaedah dan teknik yang lebih baik daripada Ikrar Bebas Rasuah tetapi ini hanyalah helah dan penipuan semata-mata dan itulah yang menimbulkan persoalan serta persepsi terhadap pendirian sebenar mereka dalam soal integriti. Kita perlu faham terlalu banyak isu berkaitan dengan integriti pentadbiran kerajaan negeri telah dibangkitkan dan kita haruslah ingat ia bukannya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tetapi sebaliknya dilakukan dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR sendiri.

Kalaulah Azmin Ali dan seluruh kepimpinan kerajaan PKR Selangor merasakan mereka bersih, suci dan bebas daripada skandal termasuklah rasuah, kenapa susah sangat Azmin Ali mahu bekerjasama dan menjalinkan hubungan dengan SPRM dalam menandatangani Ikrar Bebas Rasuah?

Apa yang dilakukan oleh SPRM tidak mempunyai apa-apa kaitan politik atau agenda tersebut, kalau negeri lain boleh menerima IBR tetapi kenapa Kerajaan PKR Selangor masih lagi memberikan seribu satu alasan? Sepatutnya Azmin Ali mengambil peluang dan kesempatan ini membuktikan bahawa mereka ada integriti yang tinggi dan bersedia melakukan apa sahaja bagi mempertahankan integriti itu.

Kesimpulannya Kerajaan PKR dan Azmin Ali mengamalkan politik cakap tak serupa bikin. Tambahan pula Ikrar Bebas Rasuah dilaksanakan oleh SPRM dengan niat ikhlas untuk memastikan sesebuah kerajaan negeri, kementerian atau jabatan melaksanakan urus tadbir yang telus dan penuh dengan integriti tanpa melibatkan amalah rasuah.

Comments