Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan tenang dan tidak tergugat langsung dengan serangan demi serangan yang dilakukan oleh media asing berhubung isu 1MDB. Malah Najib meletakkan dirinya terkawal dan konsisten dalam mengatur setiap strategi langkah politiknya untuk terus kekal berkuasa demi menjamin harapan rakyat.
Jarang sekali kita dapat melihat seorang pemimpin politik yang dapat menguruskan dilema politik dengan terurus dan terancang ketika menghadapi tekanan yang kuat dari dalam negara dan luar negara, khususnya memerangi serangan media sosial yang boleh menjatuhkan karier beliau.
Dalam era media sosial yang semakin mencabar ini, Najib menjadi sasaran hebat media asing. Jelas sekali agenda mereka cukup jahat, nakal dan melampau.
Media asing serta pemimpin pembangkang sering melaungkan, Najib antara Perdana Menteri Malaysia yang kurang popular disebabkan isu pengurusan 1MDB. Kita tidak menafikan wujud beberapa kelemahan dari awal lagi dalam menangani kontroversi yang melanda 1MDB apabila ianya dipaparkan secara drastik di media cetak dan juga media sosial.
Akhirnya Najib terpaksa turun padang dengan caranya tersendiri untuk mempertahankan dirinya bagi membuktikan dirinya berani kerana benar.
Walaupun dirinya dilihat berhempas – pulas menentang segala cabaran, serangan dan kritikan yang pedas dan panas namun ianya tidak langsung mematahkan semangat perjuangnya untuk menyerah diri sebelum bertarung.
Prestasi Najib hanya boleh ditentukan melalui kuasa rakyat dan bukanya melalui campur tangan media asing. Budaya seperti ini cukup bahaya untuk negara sekiranya tidak dikawal dan dipancung dari awal lagi.
Comments
Post a Comment